PETALING JAYA - Seorang doktor psikiatri didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas tuduhan mengganggu kesantunan seorang wanita dengan kata-kata lucah, Februari lalu.
Tertuduh, Dr Gurdeep Singh Narain Singh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca Timbalan Pendakwa Raya, P Vithiya Monisha di hadapan Majistret Tuan Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.
Iklan
Iklan
Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 41 tahun itu didakwa dengan niat untuk mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 25 tahun dengan menyebut perkataan lucah untuk didengari mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah hospital di Kota Damansara pada jam 4.30 petang pada 12 Februari lalu, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Vithiya menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan ahli keluarganya.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Dinesh Ramachandran dan Datuk Suraj Singh memohon agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 berserta syarat tambahan tersebut dan menetapkan 5 Disember ini sebagai sebutan semula kes.