Disangka lemas, rupanya balik rumah tukar baju

Iklan
Orang awam yang berada di lokasi juga tidak mengetahui bahawa mangsa telah selamat dan pulang ke rumah. (Gambar pembaca)

PARIT BUNTAR - Anggota bomba melakukan pencarian hampir 20 minit bagi mengesan seorang mangsa nahas yang terhumban dalam sebuah tali air tanpa mengetahui individu itu sebenarnya telah pulang ke rumah.

Dalam kejadian di Ladang Kelompang, Kuala Gula di sini hari ini, lelaki berusia awal 30-an berjaya menyelamatkan diri selepas kereta dipandunya terbabas dan masuk ke dalam parit dipenuhi air sedalam hampir 1.5 meter.

Iklan
Iklan

Tindakan lelaki itu yang terus pulang ke rumah untuk mandi menyebabkan orang ramai yang kebetulan berada di situ menghubungi anggota bomba kerana menyangka mangsa masih terperangkap.

Anggota bomba melakukan pencarian mangsa yang dikhuatiri terperangkap. (Gambar pembaca)

Iklan

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Ahmad Sani Nayan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu pada jam 2.30 petang.

"Anggota yang tiba di lokasi segera melakukan operasi menyelamat dalam parit kerana dikhuatiri terdapat mangsa terperangkap dalam kenderaan, namun selepas hampir 15 minit, kita tidak menemui sebarang tanda terdapat mangsa di situ," katanya.

Iklan

Menurutnya, operasi mencari mangsa kemudiannya diperluas ke kawasan ladang sawit berhampiran dalam jarak 15 meter, bagaimanapun tidak menjumpai sebarang jejak.

"Hanya selepas kira-kira 20 minit, barulah pemandu kereta itu kembali ke lokasi kejadian dan memaklumkan bahawa dia telah terselamat.

"Mangsa memberitahu dia selamat keluar dari kereta dan mengambil keputusan pulang ke rumah yang terletak berhampiran untuk membersihkan diri," katanya.

Ahmad Sani berkata, berdasarkan maklumat diberikan, kereta dipandu lelaki terbabit hilang kawalan selepas cuba mengelak babi liar yang melintas di laluan berkenaan.

"Orang awam yang berada di sini juga tidak mengetahui tindakan lelaki itu kerana mereka tiba (di tempat kejadian) selepas mangsa balik ke rumah," katanya.