ALOR SETAR - Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai disambar petir ketika dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat di Kampung Hujong Alor, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang tadi, Norhafizan Salleh, 36, yang baru pulang dari Masjid Taman Uda dengan menaiki motosikal ditemukan penduduk kampung dalam keadaan terbaring bersama anaknya, Mohd Haziq Norhafizan, 7.
Norhafizan bekerja sebagai pengawal keselamatan ditemui berada berhampiran sawah manakala anaknya pula pengsan dan terbaring di atas jalan.
Mohd Haziq kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan segera.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya kes disiasat sebagai mati mengejut.
Katanya, anak mangsa kini dimasukkan ke wad HSB untuk rawatan susulan.