Ribut petir, hujan lebat akibat peralihan monsun

Iklan
Peta menunjukkan kawasan bertanda biru sebagai amaran berlaku ribut petir. Gambar kecil: Mohd Hisham

SHAH ALAM – Fasa peralihan monsun yang dialami negara ketika ini menyebabkan beberapa kawasan di pantai barat semenanjung, barat Sabah dan tengah Sarawak menerima hujan serta ribut petir sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, dalam tempoh itu, hujan lebat hanya berlaku pada waktu petang dalam masa yang singkat di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan kawasan mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang serta senja menyebabkan cuaca lembap dan keadaan ini dijangka mengurangkan kesan suhu panas yang berlaku secara beransur-ansur.

"Peralihan monsun ini kebiasaannya berlaku di negeri pantai barat semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Menurut beliau, ketika fasa peralihan monsun itu, pembentukan awan yang menyebabkan ribut petir mudah berlaku berikutan tiupan angin yang lemah.

"Pembentukan awan kumulonimbus kerap berlaku di Malaysia yang beriklim tropika.

Iklan

"Selain mengakibatkan hujan lebat dan angin kencang, ia juga kadang-kala boleh menghasilkan hujan air batu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, fasa peralihan monsun yang membawa hujan lebat dan ribut petir dijangka tidak membawa banjir besar, sebaliknya berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran yang baik.

"Keadaan ini (fasa peralihan monsun) biasanya tidak membawa kepada banjir yang besar tetapi ada kemungkinan akan berlaku banjir kilat sekali sekala terutama di kawasan rendah dan kawasan bandar yang mengalami masalah longkang tersumbat serta saliran yang tidak baik," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan mengurangkan aktiviti luar ketika hujan lebat dan ribut petir bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Mohd Hisham berkata, fasa peralihan monsun barat daya dijangka berterusan sehingga awal November, sebelum beralih kepada monsun timur laut.

"Apabila monsun timur laut bermula, biasanya negeri-negeri di pantai timur akan mengalami hujan lebat yang berterusan dan boleh membawa banjir.

"Hujan dijangka bermula pertengahan November hingga awal Januari yang mana biasanya negeri di pantai timur mengalami hujan lebat sekitar bulan November hingga Januari,” katanya.

Jabatan Meteorologi (MET) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.