Persiapan Deepavali musnah akibat banjir kilat

Iklan
Penduduk sedang membersihkan rumah akibat banjir kilat yang melanda di Taman Sri Muda di sini petang semalam.

SHAH ALAM -"Habis semua persiapan untuk menyambut Deepavali kami sekeluarga musnah," demikian luahan R Sukumaran apabila rumahnya antara yang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat di Taman Sri Muda pada petang semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan isterinya sedang bersiap untuk membuat kuih bagi meraikan perayaan tersebut.

Iklan
Iklan

"Hujan turun dengan begitu lebat sekali, masa tu perasan air ada naik tapi tak jangka sampai boleh masuk ke dalam rumah macam ni," katanya kepada Sinar Harian.

R Sukumaran berkata, peningkatan air secara mendadak menyebabkan dia sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan kecuali beberapa barangan penting.

Iklan

"Barangan elektrik habis rosak, begitu juga dengan perabot termasuk beberapa persiapan untuk meraikan Deepavali, semuanya rosak begitu saja," katanya kepada Sinar Harian.

K Shanmugam, 70, pula berkata, banjir kilat berlaku dalam sekelip mata menyebabkan dirinya tidak sempat berbuat apa.

Iklan

"Masa kejadian anak-anak kerja, saya ada di ruang tamu, manakala isteri sedang membuat kuih di belakang.

"Bayangkan air masuk dengan begitu deras sekali, memang tak sempat nak angkat apa-apa,saya pula sudah berusia memang tak larat nak mengangkat barang-barang yang berat," katanya.

Jelasnya, biarpun sedih, namun bersyukur kerana dia dan isterinya selamat.

Beberapa persiapan untuk menyambut Deepavali musnah dalam kejadian banjir kilat petang semalam.

"Sedih tu memang sedih, manakan tidak barangan nak sambut Deepavali habis rosak, nak buat macam mana.

"Cuma saya terkilan kerana kejadian ini berlaku dalam keadaan tak lama lagi kami nak menyambut Deepavali, berlaku dengan begitu cepat sekali. Saya sangat berharap agar kejadian sebegini tidak berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, P Kannan mendakwa, antara penyebab kepada banjir kilat ini adalah ban yang terdapat berhampiran taman perumahan tersebut telah diratakan pihak tidak bertanggungjawab yang baru memulakan projek pembinaan perumahan lain.

"Kawasan ini dekat dengan parit berhampiran dengan taman perumahan yang kami diami.

"Dalam kawasan projek pembinaan taman perumahan yang baru tu ada ban yang bertindak sebagai benteng untuk menghalang air daripada sungai masuk ke parit di kawasan taman tapi saya perasa ban tersebut telah diratakan mengakibatkan air sungai melimpah dan memasuki parit berhampiran taman perumahan yang kami diami ini sehingga ia menjadi salah satu faktor berlakunya banjir kilat," katanya.

Terdahulu, ratusan rumah di Taman Sri Muda dinaiki air semalam setelah hujan turun secara berterusan.

Difahamkan banyak barangan milik penduduk yang rosak dan kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah ribuan ringgit.