KUALA LUMPUR - Kira-kira 2.2 juta pekerja asing sah di Malaysia akan menikmati liputan perlindungan penuh di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja bagi tuntutan berkaitan kecederaan mulai 1 Januari 2020.
Langkah berkenaan menunjukkan pematuhan Malaysia terhadap undang-undang buruh antarabangsa yang akan memastikan hak pekerja mendapat hak asasi manusia dan kehidupan yang baik.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon dalam satu kenyataan hari ini berkata, akta itu adalah untuk kebaikan pekerja asing yang telah memberi sumbangan yang besar kepada negara.
"Kerajaan mengumumkan pelaksanaan akta itu pada Januari 2019, tetapi disebabkan polisi insurans yang dibeli di bawah Akta Pampasan Pekerja, Akta Perkeso untuk pekerja asing akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2020.
"Pekerja asing pada mulanya dilindungi di bawah Akta Perkeso 1969 tetapi pada 1993, kerajaan mengalihkan segala soal tuntutan dan pampasan untuk pekerja asing di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952," katanya.
Menurut Solomon, peralihan itu menyebabkan ketidaksamarataan dalam layanan pekerja asing berbanding pekerja tempatan yang menikmati kemudahan Perkeso.
Isu itu mendapat perhatian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan MTUC mendesak keadaan itu diperbetulkan serta mahu Malaysia mematuhi Konvensyen 19 ILO (C19) yang menjamin kesamarataan dalam kemudahan dan layanan terhadap semua pekerja bersabit pampasan kemalangan.
Hasil desakan terbaru Solomon, ILO mengutus sebuah misi khas, ‘Direct Contact Mission’ (DCM) selama tiga hari ke Malaysia, bertujuan membantu kerajaan dan pihak berkepentingan untuk melaksanakan syor-syor bersabit piawaian antarabangsa mengenai layanan dan pampasan kemalangan untuk pekerja.
Solomon berkata, walaupun kerajaan telah mengumumkan 2.2 juta pekerja asing yang sah akan menikmati perlindungan Perkeso mulai tahun ini, masih ramai daripada mereka yang mengalami kesulitan mendapatkan bantuan seperti rawatan dan pampasan untuk kecederaan di tempat kerja.
"Selain masalah ini, MTUC juga amat prihatin tentang nasib jutaan pekerja asing tanpa permit yang dinafikan sebarang kemudahan atau pampasan kemalangan di tempat kerja.
"Dengan memberikan liputan perlindungan sedemikian kepada pekerja tanpa dokumen, kerajaan bukan sahaja akan mematuhi C19, tetapi juga dapat mewujudkan mekanisme yang diperlukan untuk menjadikan para pekerja ini pekerja yang sah," katanya.
Solomon berkata, dalam lawatan tiga hari ke Malaysia yang berakhir semalam, tujuh anggota DCM memantau akses kepada rawatan dalam kes kecederaan di tempat kerja.
Beliau berkata, meskipun kerajaan mengumumkan pekerja asing akan mempunyai perlindungan Perkeso, ramai yang masih menghadapi masalah dalam pelaksanaan sepenuhnya manfaat itu bagi pekerja asing.
"Masalah pekerja asing menikmati kemudahan itu masih belum ditangani dengan berkesan kerana kurang dialog dan rundingan bermakna antara rakan kongsi ‘tripartite’ terhadap isu itu.
"Pandangan ini turut dikongsi oleh DCM yang menegaskan proses rundingan dan komunikasi tripartite harus diperbaiki untuk mencapai hasil yang diinginkan oleh semua pihak terbabit,” tegas Solomon.
Solomon berkata, DCM akan membuat laporan mengenai hasil rundingannya dengan pelbagai pihak di Malaysia untuk membolehkan badan dunia itu mengambil tindakan susulan dan mengemukakan syor serta cadangan kepada Putrajaya.
Katanya, segala langkah itu bertujuan membantu kerajaan dan pihak berkepentingan memastikan pekerja asing mempunyai skim perlindungan yang mampu membela nasib mereka. - Bernama