KALIMANTAN - Ketua Wilayah Penajam Paser Utara (PPU) Abdul Gafur Mas’ud bersama beberapa pemimpin Dayak dan Paser menjalankan usaha pengantara untuk mencapai perdamaian dengan pemimpin masyarakat setempat semalam susulan rusuhan yang tercetus oleh kumpulan puak tempatan.
Usaha pengantara yang diadakan di Rumah Adat Baru Jalan Penajam–Kuaro, Kecamatan Longkali, Kabupaten Paser itu dihadiri beberapa individu penting termasuk Setiausaha Agung Majlis Dayak Negara, Yakobus Kumis, Pengerusi Majlis Dayak Kalimantan Timur, Edi Gunawan dan keluarga mangsa.
Abdul Gafur berkata dia diberi amanah daripada seluruh masyarakat bermula daripada suku Paser, Dayak, Jawa, Bugis dan lain-lain untuk mengekalkan kerukunan di PPU selepas rusuhan tersebut.
Menurutnya, meskipun PPU berbeza dari segi wilayah namun kedua-dua daerah itu masih serumpun dan sebarang perbezaan serta perselisihan tidak diperlukan kerana ia boleh merugikan ramai orang.
"Saya sebagai ketua wilayah akan tetap mengikuti dan memantau kejadian ini agar ia diselesaikan dengan baik," katanya.
Salah seorang penduduk Paser, Sudirman turut berterima kasih dengan Abdul Gafur yang sudi meluangkan masa untuk mendengar aduan masyarakat.
"Semoga pertemuan ini dapat mengurangkan amarah masyarakat terutamanya orang asli tempatan di wilayah Paser. Kita perlu menjaga antara satu sama lain," katanya.
Daripada usaha pengantara itu, dua perkara penting digariskan iaitu pertama masyarakat Paser akan mengadakan pendengaran adat dengan dihadiri pemimpin Dayak.
Kedua, semua peserta sepakat untuk mengurangkan kemarahan masyarakat asli Dayak Paser di daerah Paser terutamanya di daerah Long Kali agar ia tidak mengganggu kestabilan masyarakat keseluruhan.
Kelmarin, ratusan penduduk mengadakan bantahan di pelabuhan di PPU, dekat Barat Kalimantan berikutan kes dua pemuda yang maut ditikam di Pantai Nipah-Nipah 9 Oktober lalu.
Protes kemudiannya bertukar ganas apabila penunjuk perasaan bertindak membakar rumah, kiosk dan kemudahan di pelabuhan. - Agensi