Qantas lancar penerbangan tanpa henti di dunia

Iklan
Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airlines menguji penerbangan komersial terpanjang di dunia dari New York ke Sydney, hujung minggu ini. -Foto AFP

SYDNEY - Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airlines menguji penerbangan komersial terpanjang di dunia dari New York ke Sydney, hujung minggu ini.

Penerbangan lebih 16,000 kilometer itu dijangka mengambil masa sehingga 19 jam tanpa henti.

Iklan
Iklan

Penerbangan akan dijalankan tiga kali dengan pertama dijadualkan meninggalkan New York pada hari ini dan merancang untuk tiba di Australia pada lusa.

Dalam penerbangan ujian, penyelidik akan memantau kesan penerbangan sepanjang 19 jam ke atas penumpang dan anak kapal.

Iklan

Bagi penerbangan perdana, Boeing 787-9 akan membawa sehingga 40 orang, penumpang dan anak kapal yang kebanyakannya adalah pekerja Qantas Airlines.

Bilangan penumpang telah dibatasi untuk mengurangkan berat pesawat dan memaksimumkan jangkauan bahan api untuk pesawat tanpa pengisian.

Iklan

Singapore Airlines sebelum ini memegang rekod untuk penerbangan komersial tanpa henti yang paling lama, 18 jam dari Singapura ke New York.

Ia beroperasi setiap hari antara Lapangan Terbang Changi Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Qantas, Alan Joyce berkata, tiada syarikat penerbangan yang mampu mencapai prestasi itu dan memanggilnya sebagai 'sempadan terakhir dalam penerbangan'.

Para saintis dari dua universiti Australia turut serta dalam penerbangan untuk mengawasi corak tidur penumpang, mengukur tahap melatonin dalam tubuh dan corak pemakanan.

Para juruterbang juga akan memakai alat untuk mengukur gelombang otak dan memantau kewaspadaan mereka.

Apa yang akan dipertimbangkan ialah kesan 'jetlag' pada penumpang disebabkan oleh perbezaan masa selama 15 jam antara New York dan Sydney.

"Kita tahu berdasarkan asas sains bahawa perbezaan masa yang lebih besar antara lokasi berlepas dan ketibaan, dan perjalanan dari timur ke barat, cenderung orang berasa lebih jetlag," kata profesor Universiti Sidney, Stephen Simpson kepada AFP.

Tahun lepas, Qantas memperkenalkan perkhidmatan penerbangan dari Perth ke London tanpa henti selama 17 jam.

Selain laluan New York-Sydney, Qantas akan menguji perkhidmatan dari London ke Sydney dalam beberapa bulan akan datang.

Syarikat penerbangan itu juga sedang mempertimbangkan untuk melancarkan perkhidmatan komersial di laluan maraton jika keadaan ekonomi menggalakkan.

Bagaimanapun, keputusan untuk penerbangan maraton itu akan dibuat pada akhir tahun. - AFP