KUDAT - Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Balambangan yang tinggal di asrama sekolah akan mendapat kemudahan selesa selepas siapnya pembinaan Asrama Harian Luar Bandar di sekolah itu bulan lalu.
Asrama tersebut dibina atas tajaan Petronas dengan kos RM5 juta bagi menempatkan murid yang tinggal jauh dari kawasan sekolah membabitkan bangunan asrama lelaki dan perempuan dengan setiap asrama menempatkan 60 katil, dewan makan, surau dan pejabat penyelia asrama.
Ia menggantikan asrama sedia ada yang dalam keadaan daif dan hanya mampu menempatkan 10 murid lelaki dan 10 murid perempuan.
Penyerahan rasmi asrama itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada Kementerian Pendidikan hari ini.
Guru Besar SK Balambangan, Salmat Abi berkata,sekolah itu mempunyai 11 guru dan 80 pelajar yang merupakan penduduk dari empat kampung di sekitar pulau iaitu Kampung Selamat, Kok Simpul, Batu Sirih dan Tabunan.
"Asrama baharu ini memberikan banyak manfaat dan kemudahan, khususnya kepada murid yang tinggal jauh dari kawasan sekolah terutama dari Kampung Kok Simpul yang terpaksa berjalan kaki selama sejam untuk sampai ke sekolah dan dari Batu Sirih yang perlu menaiki bot," katanya ketika ditemui di Pulau Balambangan, hari ini.
Menurutnya, lebih penting lagi asrama ini dapat mengurangkan jumlah ketidakhadiran murid dari dua kampung itu ketika keadaan cuaca tidak baik iaitu hujan dan angin kencang.
Bagi Ketua Kampung Batu Sirih, Akmad Nulizan, 50, dengan adanya asrama baharu itu lebih ramai murid dari kampung tersebut dapat tinggal di asrama.
Katanya, ketika ini dia sendiri menghantar dan mengambil anaknya bersama murid lain di kampung itu untuk ke sekolah dengan menaiki bot yang memakan masa perjalanan kira-kira 20 minit.
Menurutnya, jika keadaan cuaca tengkujuh, murid di kampung itu tidak dapat pergi ke sekolah atas faktor keselamatan.
"Dengan adanya asrama baharu ini...Alhamdulillah ia dapat memberi kebaikan kepada kami khususnya anak-anak kami untuk dapat mengikuti pelajaran dengan baik," kata Akmad.
Pulau Balambangan yang terletak bersebelahan Pulau Banggi, sejam perjalanan menaiki bot dari Pekan Kudat, mempunyai hampir 400 penduduk yang kebanyakannya nelayan. - Bernama