Misi didik pengguna jimat air

Iklan
Amirudin memasang bidal pada paip air ketika melawat tapak pameran dengan ditemani Suhaimi. Foto: ROSLI TALIB

Air Selangor melaksanakan kempen kesedaran pengguna, tubuh Unit Penjimatan

BATU CAVES - Penggunaan air yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 165 liter per kapita sehari setiap pengguna.

Namun statistik dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 2017 melibatkan pengguna di Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah 222 liter per kapita sehari.

Iklan
Iklan

Ia menunjukkan kadar penggunaan itu bukan hanya melebihi saranan oleh WHO malah angka itu juga lebih tinggi berbanding beberapa negara lain.

Suhaimi

Contohnya, hanya 150 liter per kapita sehari kadar penggunaan air penduduk di Singapura sementara Thailand pula sebanyak 193 liter per kapita sehari.

Iklan

Atas kesedaran pentingnya penjimatan air, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengadakan kempen dan program jimat air sejak tahun lalu yang diteruskan sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, kempen kesedaran penggunaan air secara berhemah itu sebagai usaha mencapai sasaran ditetapkan oleh SPAN yang meletakkan kadar penggunaan air kepada 180 liter per kapita sehari menjelang tahun 2020.

Iklan
Tetamu yang menghadiri Majlis Pelancaran ‘Be a Water Conservation Warrior’ Kempen Jimat Air di Padang Awam Batu Caves Selasa lalu.Foto: ROSLI TALIB

Selain itu menurutnya, ia selari dengan cabaran semasa Air Selangor bagi meningkatkan rizab margin bekalan air bersesuaian dengan peningkatan jumlah pengguna di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur saban tahun.

Atas dasar ini, Air Selangor telah mengambil langkah proaktif meningkatkan kempen kesedaran dengan menubuhkan Unit Penjimatan Air.

"Pada Oktober 2018, Air Selangor telah melantik pakar perunding bagi menjalankan kaji selidik berhubung penggunaan air dalam kalangan pengguna domestik dan mendapati kesedaran pengguna mengenai penjimatan air masih di tahap rendah,” katanya.

Pelajar daripada Azmida Technical College berswafoto bersama Mat Bidal. Foto: ROSLI TALIB

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran ‘Be a Water Conservation Warrior’ Kempen Jimat Air di Padang Awam Batu Caves di sini Selasa lalu yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Suhaimi berkata, Air Selangor dengan kerjasama institusi dan agensi kerajaan serta wakil rakyat akan berganding bahu dalam melaksanakan kempen kesedaran jimat air.

"Sehingga kini, sebanyak 22 program jimat air telah dilaksanakan. Kempen ini akan berterusan dan berharap menerima reaksi yang baik dari masyarakat.

"Usaha membudayakan masyarakat jimat air ini membuahkan hasil positif dengan purata penurunan penggunaan air di beberapa kawasan penganjuran program antara tiga hingga 50 liter sehari,” katanya.

Suhaimi dan Amirudin melancarkan Kempen 'Be A Water Conservation Warrior' dan ditemani oleh Mat Bidal. Foto: ROSLI TALIB

s/h: Air Selangor tawar hadiah RM200,000

SEBAGAI meneruskan usaha kempennya, Air Selangor membuka pertandingan mencipta poster dan video jimat air kepada orang awam dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM200,000.

Suhaimi berkata, pertandingan berlangsung mulai 15 Oktober 2019 sehingga 15 Januari 2020 dengan pelbagai tawaran hadiah menarik melibatkan 10 hadiah utama dan 150 saguhati bernilai RM500 setiap satu.

Jelasnya, penyertaan terbuka kepada semua pengguna (kecuali kakitangan Air Selangor) dan senarai pemenang akan diumumkan sebaik tamat tempoh pertandingan.

Dari kiri Ketua Perkhidmatan Pengebilan Pelanggan, Yusof Saroji, Pengarah/ Ketua Operasi, Ir Abas Abdullah, Suhaimi dan maskot kempen jimat air, Mat Bidal mengalu-alukan orang awam untuk menyertai Pertandingan 'Be A Water Conservation Warrior'. Foto: ROSLI TALIB

"Peserta perlu mengikuti empat langkah mudah untuk menyertai pertandingan itu iaitu dengan menekan butang ‘follow’ dan ‘like’ Air Selangor di laman sosial Facebook atau Instagram.

"Muat naik hasil karya di laman sosial peribadi(Facebook/Instagram) dengan meletakkan #beawaterconservationwarrior dan tag Facebook atau Instagram Air Selangor.

"Langkah terakhir ialah peserta perlu mendapatkan ‘like’ dan ‘share’ sebanyak mungkin dari pengikut dan pastikan akaun ditetapkan dalam paparan umum,” katanya.

Beliau berkata, kriteria pemenang dipilih berdasarkan kreativiti poster dan video yang dihasilkan, mesej dan jumlah ‘like’ dan ‘share’ terbanyak.

Amirudin (tengah) menyerahkan bidal kepada wakil penduduk sambil diperhatikan oleh Suhaimi pada Majlis Pelancaran ‘Be A Water Conversation Warrior’ Kempen Jimat Air Selasa lalu. Foto: ROSLI TALIB

s/h: Kerajaan negeri sasar penurunan penggunaan air kepada 200 lcd

KERAJAAN Negeri Selangor berharap kadar penggunaan air domestik rakyat Selangor dapat diturunkan ke 200 liter per kapita sehari menerusi kempen yang dijalankan.

Amirudin berkata, bukan mudah untuk mencapai saranan SPAN iaitu 180 liter per kapita sehari sehari namun jika dapat dikurangkan ke 200 dalam tempoh setahun dua ini merupakan satu pencapaian yang baik.

"Kita mulakan kempen ini kepada individu sebagai amalan di rumah dan kemudian akan diperluaskan kepada institusi seperti pejabat kerajaan, masjid, surau dan dewan orang ramai pula.

"Kalau ia dapat dilaksanakan, saya rasa ini juga akan memberi kesan sekurang-kurangnya 20 hingga 25 peratus daripada pencapaian yang kita harapkan,” katanya.

Kerajaan negeri sentiasa berusaha bagi memastikan kelestarian bekalan air dan meningkatkan rizab margin dengan menaik taraf kemudahan infrastruktur bekalan air seperti pembinaan loji rawatan air, penggantian paip dan sebagainya.

"Menjelang akhir tahun ini Loji Rawatan Air Langat 2 akan beroperasi sepenuhnya, selain Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan membantu menampung rizab air. Itu usaha baik namun bukan lesen untuk menggunakan air sesuka hati atau secara berlebihan,” katanya.

Amirudin berkata, beliau yakin kempen penjimatan air itu mampu dilakukan jika masyarakat mempunyai perubahan sikap untuk bersama-sama menjaga kelestarian air.