SUBANG JAYA - Usahawan jenama tempatan diingatkan agar tidak meletakkan harga barangan yang tinggi sekiranya ingin bersaing dengan produk berjenama sedia ada.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, ini kerana salah satu punca utama produk berkenaan sukar untuk mendapat tempat di hati pengguna disebabkan harganya yang tidak munasabah.
Menurutnya, itu realiti yang sedang berlaku apabila ada antara usahawan yang ingin meletakkan barangan di ruang perniagaan miliknya meletakkan harga yang tinggi melebihi produk berjenama sedia dikenali.
"Bayangkan harga jenama tempatan yang baharu hendak dipasarkan telah meletakkan harga yang tinggi daripada jenama terkenal.
"Jadi, sudah tentu pengguna akan memilih produk yang sudah ada jenama kerana sudah tahu mengenai kualiti yang setanding dengan harga.
"Kita tahu semua peniaga mahukan keuntungan tetapi biarlah ia munasabah tambahan pula produk mereka masih baharu," katanya ketika menyampaikan wacana bertajuk Realiti di Sebalik Usahawan.
Menurutnya, setiap usahawan juga perlu membuat tinjauan harga dengan mengambil kita perspektif pengguna jika mahu produk milik mereka dapat dipasarkan dengan lebih meluas.
"Ramai (usahawan) yang ingin memasuki pasaran Mydin tetapi apabila kita tanya soal kos, harganya sangat tinggi. Kalau kita ingin jual produk yang sama dengan barangan berjenama, harganya tidak boleh sama atau jauh lebih mahal.
"Selain itu, soal kualiti juga perlu diberi perhatian kerana ia merupakan antara aspek penting untuk bersaing di pasaran.
"Mydin hanya menyediakan ruang untuk peniaga pasarkan produk tetapi untuk menjadikan barangan mereka itu hebat dan menjadi pilihan, peniaga kena pastikan ia berkualiti dan terbaik," katanya.
Menyentuh mengenai kejayaan Mydin mengekalkan jenama sejak 40 tahun lalu sehingga kini, Ameer berkata, apa sahaja bentuk perniagaan adalah fokus tentang apa yang ingin dilaksanakan.
"Sebagai contoh, tempoh yang kita ambil untuk membuka cawangan (Mydin) yang kedua mengambil masa kira-kira 22 tahun, sebab apa? Kerana kita ingin pastikan cawangan yang pertama itu benar-benar kukuh dan stabil barulah kita membuat perancangan sepenuhnya.
"Tidak dinafikan ramai usahawan ingin kaya dengan cepat dan cuba mengembangkan perniagaan dalam pelbagai cabang dan akhirnya tidak ke mana sebab itulah fokus dan perkukuhkan satu-satu perniagaan barulah kita ambil langkah untuk kembangkan lagi," katanya.