KUANTAN - Seorang pengguna Facebook, Jesse Oii berkongsi kesedihan mengenai kucing jalanan yang dijaga seorang pencinta kucing mati diracun dengan kejam oleh individu yang tidak diketahui.
Jesse memuat naik gambar dan menulis,"17 ekor kucing mati bergelimpangan diracun secara kejam. Itulah nasib kucing-kucing gelandangan peliharaan Muhammad Nur Fiqry Zahari yang mati dalam kawasan rumah sendiri di Lorong Seri Kuantan akibat perbuatan khianat manusia yang tidak menyukai kucing.
"Apalah sangat dosa kucing-kucing tersebut pada orang yang meracun mereka sampai mati. Ketika kejadian Nur Fiqry tiada di rumah. Pembunuh kejam mencampakkan kepala ayam mentah yang telah dilumur racun untuk membunuh 60 ekor kucing peliharaan Nur Fiqry.
"Bagaimanapun hanya 17 ekor kucing yang malang terkena kesan racun sehingga menyebabkan kematian."
Jesse turut mencadangkan Nur Fiqry melaporkan perkara itu kepada polis serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mencari pesalah dan dikenakan tindakan undang-undang.
"Semoga Nur Fiqry terus tabah dan kuat semangat. Inilah dugaan dan kesusahan menjadi rescuer (penyelamat) haiwan gelandangan. Kepada pelaku yang masih bebas. Tidakkah anda boleh tidur dengan tenang setelah menzalimi dan menganiaya hingga mati makhluk lemah dan memerlukan perlindungan?" tulisnya.
Perkongsian hantaran itu kini tular di media sosial dan rata-rata netizen mengecam tindakan pelaku yang zalim dan tergamak melakukan perkara tersebut.
Tulis Najib,"Kepada pelaku, kau tunggu azab ALLAH. Kau takkan terlepas dunia dan akhirat. Macam mana azab kucing tu tak nak mati begitulah kau pun nanti dan masa itu mungkin dengan kuasa ALLAH akan terbayang kembali saat mengazab kucing-kucing itu."
"Memang ada manusia yang zalim serta kejam hingga menyeksa binatang peliharaan. Kucing saya dikuncikan oleh seseorang selama empat hari dengan tidak memberikan makanan dan minuman. Kucing saya sempat balik rumah selepas empat hari namun mati di kemudian hari," kata Wh Ooi di Facebook.