Bazaar Peduli Rakyat bakal diperluas seluruh negara

Iklan
Salahuddin membantu peniaga membuat lelongan ikan yang dijual pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran kepada pengunjung selepas melancarkan Program BPR di Serkat semalam.

PONTIAN - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bakal memperluaskan program Bazaar Peduli Rakyat (BPR) yang menawarkan harga barangan keperluan jauh lebih murah daripada harga pasaran ke peringkat daerah di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha itu sejajar dengan hala tuju baharu yang digariskan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Iklan
Iklan

"Sebab rakyat suka dapat beli barang murah daripada harga pasaran. Lagi murah, lagi rakyat suka. Jadi, kita akan teruskan dan kaji lokasi-lokasi penting dan bukan terhenti di peringkat negeri sahaja.

"Kita akan cuba laksanakan di peringkat daerah dan kalau boleh dalam masa tiga atau empat tahun lagi, BPR ini boleh diwujudkan di setiap kampung,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program BPR di Masjid Dato’ Mohd Noh Gadot, Serkat di sini semalam.

Salahuddin (tengah) dan isteri, Datin Seri Fatimah Taha (tiga dari kanan) bersama Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Ruhaida Mashhor (tiga dari kiri) serta Pengerusi LPNM, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (dua dari kanan) menanam nanas sebagai gimik pelancaran program kebitaraan nanas di pekarangan Masjid Dato’ Mohd Noh Gadot semalam.

Salahuddin berkata, BPR memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat malah usahawan dan nelayan di mana mereka dapat menjual produk pada harga lebih rendah.

Iklan

"Mereka boleh menjual terus produk dengan pengurangan harga lima peratus hingga 30 peratus kerana tidak perlu membayar fasiliti. Semuanya kita sediakan.

"Untuk penganjuran akan datang, kita akan cari lokasi lebih luas dan sediakan fasiliti lebih banyak,” katanya.

BPR yang berlangsung bermula jam 8.30 pagi itu menawarkan pelbagai barangan murah termasuk ikan, daging, ayam, buah-buahan, bawang, tepung dan pelbagai barangan lain.

Program itu yang telah dilaksanakan di lapan negeri termasuk Johor akan dilanjutkan ke Melaka dan Perak.

Pada majlis sama, Salahuddin turut menyerahkan surat kelulusan program Rezeki Tani kepada empat penerima di Tanjung Piai.

Mereka yang terlibat dalam sektor penternakan, pemprosesan makanan, perniagaan tani, dan pertanian menerima bantuan peralatan antaranya seperti mesin inkubator penetas telur, mesin pemotong ubi, mesin pengadun dan peralatan tanaman sayuran.

Pengurus Besar Econsave Cash & Carry, Mas Imran Adam mengiringi Salahuddin (kiri) mengagihkan 1,000 bungkus tepung gandum percuma kepada pengunjung BPR yang hadir di Serkat semalam.