KUALA SELANGOR - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kuala Selangor 2019 di Dataran Malawati di sini hari ini.
Baginda tiba kira-kira jam 9 pagi terlebih dahulu bersama tetamu dan rakyat jelata menyanyikan lagu Negeri Selangor diikuti persembahan tarian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat).
Tengku Permaisuri Norashikin kemudian mencemar duli melepaskan acara larian Jejak Warisan kategori 18 hingga 35 tahun di Dataran Malawati.
Baginda kemudian mengunjungi beberapa tapak jualan dan mural sejurus selesai majlis pelancaran itu.
Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan berangkat ke Taman Alam Kuala Selangor pada pelancaran New Birdlife 'Important Bird Area' sempena program Pesta Sayap di Taman Alam Kuala Selangor.
Penganjuran program itu bertujuan mengiktiraf Kuala Selangor Nature Park (KSNP) sebagai kawasan tanah lembab yang perlu dipulihara.
KSNP adalah habitat penting burung air dan sebagai lokasi singgah haiwan itu ketika terbang menuju ke selatan.
Baginda mengakhiri lawatan dengan menikmati santapan tengah hari di Hotel De Palma Eco Resort Kuala Selangor jam 12 tengah hari.