SHAH ALAM - Pemandu Honda Civic yang tular di laman sosial Facebook selepas dipercayai melanggar seorang penghantar makanan tampil membuat laporan polis petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, pihaknya telah merakam keterangan pemandu berusia 59 tahun itu.
Menurutnya, pemandu berkenaan mendakwa telah terlanggar belakang motosikal terbabit sewaktu berada di Persiaran Anggerik Vanilla, Bukit Rimau sehingga menyebabkan penunggangnya terjatuh.
"Berdasarkan laporan, kejadian dikatakan berlaku pada jam 1 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu tular di media sosial mengenai rakaman video seorang pemandu kereta melanggar motosikal seorang penghantar makanan.
Menerusi rakaman itu, pemandu itu dilihat tidak memberhentikan kenderaannya walaupun telah melanggar penghantar makanan terbabit sehingga jatuh.
Mengulas lanjut, Azman berkata, berdasarkan keterangan pemandu terbabit, dia mendakwa tidak memberhentikan kenderaannya kerana takut dipukul oleh orang awam yang lalu di kawasan tersebut.
"Pegawai penyiasat telah melawat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang kini sedang dirawat di zon hijau.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.