KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengambil beberapa inisiatif menaik taraf Pekan Lama Kuala Selangor bagi meningkatkan kualiti kemudahan awam dan infrastruktur perbandaran sebagai tarikan pelancong.
Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, transformasi itu bermula melalui pembinaan Dataran Malawati yang sebelum ini dikenali sebagai Padang Kemerdekaan.
"Kawasan seluas 0.4 hektar ini diwartakan sebagai kawasan rekreasi.
"Sebelum ini ia adalah kawasan lapang yang sangat besar dan digunakan penduduk untuk bermain bola sepak dan penganjuran program kemasyarakatan," katanya pada Karnival Kuala Selangor Tahun 2019 di Dataran Malawati Kuala Selangor di sini hari ini.
Karnival disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.
Rahilah berkata, pada masa dahulu turut disediakan kemudahan seperti stesen bas, dewan, astaka dan gerai kecil di sekeliling dataran.
"Mercu tanda menara jam adalah tinggalan sejarah yang sangat lama dan masih kekal sehingga hari ini. Kita harap transformasi yang dilakukan di pekan ini dapat mengubah mentaliti penduduk ke arah kebaikan.
"Kita berhasrat membangunkan pekan ini dalam aspek sosio-ekonomi, eko-pelancongan dan kesejahteraan penduduk serta tidak mahu ada pihak yang memberi imej buruk kepada MDKS," katanya.