Empat syarikat tawar ambil alih PLUS: Baru Bian

Iklan
Baru (tiga dari kanan) melakukan gimik perasmian Jelajah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pembinaan Edisi Terengganu dan Pertandingan WSMB di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Jenagor di sini hari ini.

HULU TERENGGANU - Kementerian Kerja Raya mengesahkan menerima empat tawaran mengambil alih kepentingan Khazanah Nasional dalam konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PMB).

Menterinya, Baru Bian berkata, empat syarikat tersebut adalah Widad Business Group, RRJ Capital, Maju Holding dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua tawaran tersebut akan dinilai dan dikaji sebelum dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

"Kita telah menerima beberapa tawaran dan dua tiga hari lalu, kita terima tawaran keempat.

Iklan

"Sebagai kementerian yang bertanggungjawab kepada lebuhraya dan tol, kita akan bentangkan tawaran ini kepada Kabinet dan Kabinet akan putuskan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Jelajah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pembinaan Edisi Terengganu dan Pertandingan WSMB di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Jenagor, di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji dan mempertimbangkan sebarang bidaan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS.

Sebelum ini, Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) menawarkan kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar tol sehingga 36 peratus jika cadangan pengambilalihan PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia diluluskan.

Widad Business Group pula menawarkan untuk membeli konsesi PLUS Expressways Bhd dengan mengambil alih 51 peratus kepentingan milik Khazanah dengan pertimbangan tunai bernilai RM1.5 bilion atau keseluruhan konsesi dimiliki Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan pertimbangan tunai RM3 bilion.

Kumpulan itu berjanji untuk mengurangkan kadar tol di antara 25 peratus dan 40 peratus.