KUALA NERUS - Institusi latihan industri minyak dan gas bertaraf dunia, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) menganjurkan Majlis Malam Kebudayaan bagi menghimpunkan kepelbagaian budaya dari tujuh buah negara.
Majlis julung kali diadakan itu bertujuan mengetengahkan kebudayaan dari negara asal 300 pelatih yang sedang menuntut di institusi itu.
Mewakili Ketua Pegawai Eksekutif, Idris Ibrahim, Ir Abdol Salam Mohd Sariff selaku Ketua Loji Latihan dan Pengurusan Harta INSTEP berkata, majlis bertemakan Memupuk Kepelbagaian dan Memperkayakan Kehidupan Sejagat itu mengetengahkan kebudayaan dari Papua New Guinea, Senegal, Jepun, Oman, Iraq, Brunei dan Malaysia.
"Terdapat hampir 300 pelatih tempatan dan antarabangsa yang sedang menjalani latihan teknikal di INSTEP. Mereka bukan sahaja berbeza dari segi latar belakang negara bahkan berlainan usia dan taraf jawatan.
"Inisiatif itu diambil bagi meraikan kepelbagaian di samping mengeratkan lagi hubungan sesama mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis itu malam semalam.
Antara aktiviti dimuatkan sempena Malam Kebudayaan itu ialah persembahan nyanyian, tarian, syair, serta permainan tradisional negara masing-masing.
Selain itu, makanan tradisional dari tujuh buah negara itu turut disajikan sebagai menu untuk santapan pada Malam Kebudayaan itu.
Lebih menarik, pada acara kemuncak persembahan, pelatih tempatan dan antarabangsa bergabung mengadakan persembahan kebudayaan Malaysia sebagai cara memperkenalkan budaya tempatan masyarakat negara ini.
Abdol Salam berkata, sebagai sebuah institusi yang memperkayakan modal insan yang mampan pada masa hadapan, INSTEP menyediakan pelbagai transformasi sebagai pengalaman pembelajaran kepada pelatih.
"Kami di INSTEP komited dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang holistik kepada pelatih. Mereka bukan sahaja menimba pengetahuan dan teori teknikal malah berpeluang meningkatkan kemahiran insaniah melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah,” katanya.
Sementara itu, pelatih dari Brunei, Mohamad Afiq Taufiq Mohd Talip, 27, berkata, Malam Kebudayaan yang dianjurkan itu memberikan pendedahan mengenai adat dan kebudayaan kepada pelatih di institusi itu.
"Program begini amat bagus untuk mengeratkan lagi hubungan dan meraikan kepelbagaian budaya dalam kalangan kita,” katanya yang mengikuti kursus Juruteknik Instrumentasi.
Pelatih dari Senegal, Aloise Ngor Mak Diagne, 28, pula berkata, dia dan rakan-rakanya amat teruja kerana berpeluang mempersembahkan kebudayaan tradisi negara asalnya kepada rakan-rakan dari negara lain.
"Kami amat gembira dan teruja kerana dapat berkongsi budaya dan adat serta dapat menikmati makanan tradisi negara masing-masing sempena program malam ini,” katanya.
INSTEP menyediakan program pembelajaran campuran melibatkan pembelajaran kelas, latihan praktikal di bengkel, pembelajaran berorientasikan pengalaman di Loji Latihan Huluan dan Hiliran (Upstream Downstream Training Plant) serta
pendedahan pengalaman di loji komersil.
Institusi itu telah melahirkan lebih 14,000 tenaga kerja kompeten termasuk juruteknik, pengendali operasi dan penyelenggaraan di 30 buah loji Petronas dan bukan Petronas.