Bersama bangunkan legasi UMK

Iklan
Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail

SUDAH 13 tahun bertapak di Negeri Cik Siti Wan Kembang, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semakin tersohor dan terus gah dalam memainkan peranannya sebagai sebuah universiti keusahawanan di negara ini.

Bukan sahaja ke arah menjadi suaka ilmu, UMK secara realitinya terbukti ‘memberi nyawa’ kepada komuniti setempat. Itulah kelebihan UMK.

Iklan
Iklan

Sempena Istiadat Konvokesyen Kesembilan hari ini, ikuti wawancara Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Rosmiza Kasim bersama Naib Canselor UMK, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail.

Sejurus dilantik sebagai Naib Canselor UMK, apakah pendekatan utama Prof khususnya dalam menjadikan UMK sebagai universiti keusahawanan?

Iklan

NOOR AZIZI: Setelah diberikan mandat menerajui UMK sebagai naib canselor yang kelima saya memulakannya dengan menekankan nilai ‘kebersamaan’. Seluruh warga UMK, pensyarah, kakitangan pentadbiran termasuk juga pelajarnya perlu bersatu hati dan bersama untuk menjadikan UMK bukan sahaja sebagai universiti keusahawanan yang dihormati di negara ini tetapi juga di rantau Asia.

Ketika menyampaikan amanat naib canselor pada minggu ketiga, pendekatan yang diambil adalah dengan menjemput semua mantan naib canselor dan pengerusi lembaga pengarah.

Iklan

Ini adalah untuk menunjukkan kepada warga UMK bahawa hubungan dengan kepimpinan lama yang membawa kepada pembangunan universiti perlu diteruskan untuk mencapai matlamat kewujudan gerbang ilmu di negeri ini. Mesej yang ingin saya sampaikan adalah kita semua perlu bersatu hati bersama berusaha untuk memartabatkan UMK.

Selain itu, jika kita mahu menjadikan UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan, maka bagi saya UMK perlu ditadbir sama seperti sebuah entiti perniagaan.

Sepanjang sembilan bulan ‘mengemudi’ UMK, bagaimana Prof melihat gerak kerja kakitangan UMK itu sendiri dalam menambah baik sistem tadbir urus bagi memperlihatkan universiti ini cukup sempurna untuk dijadikan pilihan?

NOOR AZIZI: Saya mengambil kata-kata semangat Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk (Dr) Hussamuddin Yaacub iaitu"kita bina legasi UMK secara bersama”.

Jadi dengan itu, kami bersama-sama berusaha untuk menjadi UMK ini sebagai pilihan.

Saya melihat kakitangan pelbagai peringkat yang ada di sini, bukan sahaja telah berusaha keras untuk menjadikan UMK sebagai gedung ilmu tetapi tempat untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan komuniti, negeri dan negara.

Sehubungan itu, saya tidak mengubah visi dan misi UMK. Ia kekal sebagai sebuah universiti yang berteraskan keusahawanan.

Yang berbeza mungkin strategi dan budaya kerja baharu selain menambah baik tadbir urus dan sistem pelaporan yang sedia ada.

Pada bulan pertama di sini saya telah mengadakan beberapa siri ‘Town Hall’ dengan kakitangan dari pelbagai peringkat.

Sekiranya memerlukan saya sendiri turun padang, saya akan bersama mereka. Saya juga menekankan segala kerja yang dilakukan bukanlah untuk naib canselor tetapi untuk institusi.

Naib canselor boleh datang dan pergi, namun amanah dan tanggungjawab kita kepada institusi dan pelajar kekal. Sebab itulah kita dapat melihat rimbunan kejayaan yang telah dicapai UMK setakat ini.

Noor Azizi ketika ditemubual wartawan Sinar Harian.

Dalam tempoh tidak sampai setahun mengetuai hala tuju UMK, adakah Prof merasakan pencapaian dicapai setakat ini sudah memadai ataupun UMK perlu membuat pelbagai kejutan lagi?

NOOR AZIZI: Alhamdulillah dalam tempoh sembilan bulan ini saya mendapati pelbagai kejayaan telah dicapai oleh UMK dan saya sendiri tidak menyangka dapat mencapainya dalam tempoh begitu cepat.

Dalam aspek penyelidikan dan inovasi contohnya, pada tahun lepas UMK hanya berjaya memenangi 3 pingat emas, tetapi kami bersyukur sehingga September tahun ini UMK telah memenangi 12 pingat emas.

Ini tidak termasuk anugerah yang dimenangi dalam pelbagai pertandingan lain yang menjadikan jumlah keseluruhan 28 pingat emas telah dimenangi oleh pensyarah dan pelakar UMK. Alhamdulillah!

Bagaimana kita mendapat semua ini? Jawapannya adalah nilai kebersamaan dan juga kepercayaan yang membolehkan pelbagai pihak menyokong usaha UMK sekali gus merealisasikan impian kami dalam pelbagai perkara. Itulah kekuatan kami.

Dalam mencapai kejayaan juga saya sentiasa mengingatkan mereka untuk sentiasa meletakkan integriti di tempat paling atas. Maka dalam soal ini saya tidak akan sesekali berkompromi dengan sesiapa yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

UMK mempunyai pakar termasuk juga Majlis Profesor UMK itu sendiri. Bagaimana mereka berperanan kepada UMK dan boleh diterjemahkan kepada kejayaan universiti?

NOOR AZIZI: Pada tahun ini kita telah mewujudkan Majlis Profesor UMK sendiri. Mereka bertindak sebagai badan pemerhati dan penasihat kepada pengurusan universiti dan boleh memberikan cadangan secara terus kepada naib canselor.

Contohnya, mereka diberi tanggungjawab untuk menilai dan memberi nasihat berkaitan prosedur kenaikan pangkat, keperluan pensyarah, penyelidikan dan beberapa isu strategik lain.

Begitu juga dalam hal lain. Dengan gabung jalin antara kedua pihak ini maka keputusan akan dibuat untuk memastikan UMK akan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang membabitkan pelajar dan juga kakitangan di setiap bahagian.

Apakah rangka yang disusun pihak pengurusan untuk memberi peluang kepada pelajar merasai realitinya berada dalam persekitaran sebuah universiti keusahawanan?

NOOR AZIZI: Dua aspek ditekankan. Pertama, UMK berhasrat melahirkan usahawan seramai mungkin.

Sehubungan itu, pelajar di sini diberikan peluang untuk menjalankan perniagaan di dalam kampus. Mereka diberikan latihan dan modal untuk menjalankan perniagaan.

Berdasarkan statistik pada awal tahun, terdapat hampir 500 syarikat pelajar yang berdaftar yang melibatkan hampir 800 orang pelajar.

Jumlah ini akan ditingkatkan lagi dan kami menyasarkan pada tahun hadapan, 2,400 orang pelajar akan terlibat dalam perniagaan sama ada secara sendirian atau perkongsian.

Menjadi trend sekarang ini adalah perniagaan secara dalam talian melibatkan produk makanan, fesyen, penjagaan kesihatan serta kecantikan.

Untuk ini, UMK bekerjasama rapat dengan Lazada, platform perniagaan dalam terbesar di ASEAN.

Kedua, UMK menekankan kepada usaha melahirkan graduan yang berminda usahawan. UMK satu-satunya universiti yang mewajibkan pelajar, tanpa mengira program pengajian, untuk mengikuti empat kursus keusahawanan yang berjumlah 12 jam kredit.

Selain itu, UMK turut menekankan kepada aspek kecergasan fizikal, minda dan jiwa bagi melahirkan graduan yang bertanggungjawab dan kalis masa depan. Begitu juga aspek pemikiran kritis dan penguasaan Bahasa Inggeris turut ditekankan.

Bagaimana UMK dapat meyakinkan masyarakat di luar sana, bahawa universiti ini sebenarnya tidak tertumpu pada pengajian sahaja tetapi sebenarnya lebih daripada itu?

NOOR AZIZI: Sepertimana saranan Perdana Menteri, UMK menekankan kepada keusahawanan bernilai tinggi yang berasaskan kepada inovasi.

Tunjang kepada inovasi ialah sains dan teknologi. UMK mempunyai fakulti yang kuat dalam bidang sains di kampus Jeli dalam bidang bio-kejuruteraan, industri dan asas tani, dan sains bumi. Program teknologi maklumat pula akan mula ditawarkan bermula sesi September 2020.

Di Jeli itu sendiri, pensyarah kita telah menghasilkan banyak produk makanan, kesihatan dan kecantikan.Sebab itulah untuk perancangan tahun depan, UMK akan merintis untuk mewujudkan industri di dalam kampus.

Buat masa ini, Fakulti Bio-Kejuruteraan dan Teknologi (FBKT) UMK telah bekerjasama dengan sebuah syarikat bioteknologi di Shah Alam dalam menghasilkan bahan mentah kepada produk kesihatan dan kecantikan yang kini diimport dari luar negara.

Kini masih dalam peringkat kajian, kita melihat UMK mampu untuk menghasilkan bahan tersebut. Sekiranya kajian tersebut berjaya, maka syarikat tersebut akan melabur untuk menubuhkan inkubator di dalam kampus Jeli. Ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelajar dan pensyarah tetapi juga komuniti setempat.

Selain itu, Fakulti Industri dan Asas Tani dan Fakulti Veterinar UMK akan bekerjasama dengan UMK Business Venture untuk menternak ayam secara komersil secara ‘contract farming’ bersama sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Ini akan memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah memahami keseluruhan eko-sistem dan rantaian bekalan industri. Pelajar akan berpeluang menjana pendapatan melalui konsep ‘learn and earn’.

Ada beberapa lagi projek besar yang masih di peringkat perbincangan dan akan dilaksanakan dalam setahun dua ini, insya-ALLAH.

Kita telah membuat kajian yang mana lebih 60 peratus pelajar UMK datang dari keluarga dalam kumpulan B40.

Lebih 2,000 pelajar pula datang dari keluarga asnaf iaitu pendapatan keluarga kurang dari RM1,000. Jadi bagaimana kita boleh membantu mereka?

Kita boleh memberikan sumbangan zakat secara one off. Tetapi mengapa kita tidak sediakan peluang pekerjaan. Itu yang UMK lalukan kepada mereka.

Mengakhiri temu bual ini, bagaimana Prof mahu melihat UMK dalam tempoh 10 tahun akan datang?

NOOR AZIZI: Saya ingin memetik kata-kata Jack Ma iaitu"It’s the dream that keep us working hard. It’s the dream that keep us never afraid of the mistakes, the setbacks we have”. Jadi kita perlu terus bermimpi dan berusaha.

Saya mengimpikan UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan yang benar-benar bersifat usahawan.

Pertama, kita telah meletakkan sasaran UMK menjadi universiti keusahawan nombor satu di Asia pada 2030. Kita juga meletakkan sasaran 30 peratus dari graduan UMK menjadi usahawan pada tahun 2030.

Pada ketika itu, kita mungkin boleh berbangga melihat ramai alumni UMK yang telah menjadi usahawan terkenal dan meyumbang kembali kepada universiti, insya-ALLAH.

Kita mahu menjadikan UMK sebagai pusat rujukan utama dalam bidang keusahawanan di rantau ini. UMK mempunyai beberapa inkubator malah kilang sendiri di dalam kampus. Kita juga sudah mula memikirkan bagaimana pensyarah dan profesor UMK menjadi penasihat kepada SME dan juga syarikat besar.

Kita mungkin tidak boleh nampak banyak kilang yang wujud dalam tempoh setahun dua ini. Namun dalam tempoh 10 tahun lagi mungkin segala yang dicetuskan di UMK ini akan ‘merebak’ dan ‘menghidupkan’ Kelantan sekurang-kurangnya.

Saya tiada banyak masa, hanya tiga tahun. Namun saya percaya dengan usaha kuat, perancangan yang betul dan iltizam yang tinggi kita mampu melakukannya.

Saya yakin suatu masa nanti UMK di Kampus Jeli akan menjadi pusat rujukan dalam inovasi sains.

Saya juga nampak kampus UMK di Bachok dan Kota Bharu pula boleh memainkan peranan sebagai hub dalam bidang teknologi maklumat sebagaimana di Innoway di Beijing.

Di sinilah lahirnya usahawan-usahawan hebat. mencetuskan idea dan melakukan sesuatu yang luar biasa sana