KUALA LUMPUR - Selain mengadakan sesi dialog bersama golongan bukan Islam, program yang bersifat santai kepada semua golongan juga adalah antara pendekatan yang akan dibawa dalam dasar Rahmatan Lil Alamin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, dengan peruntukan sebanyak RM10 juta menerusi Belanjawan 2020, lebih banyak program yang berteraskan Maqasid Syariah dapat dianjurkan pada tahun depan.
"Dialog bersama golongan bukan Islam lebih berkesan jika ia melibatkan ketua-ketua agama. Namun bukan dialog sahaja, kita juga buat aktiviti santai seperti gotong-royong, berkelah, ataupun sukan bola sepak.
"Program-program seperti ini melibatkan kepentingan bersama. Jadi, ini adalah antara aspek yang kita harap boleh tumpu pada tahun 2020," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan Persatuan Promosi Harmoni Malaysia yang kelima hari ini.
Mengenai perkembangan dasar Rahmatan Lil Alamin, beliau menjelaskan, dasar itu telah dibentangkan di Majlis Raja-raja dan diperakui akan memberi manfaat kepada Malaysia.
"Saya mengharapkan mungkin Jumaat minggu depan, ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk memberikan penjelasan kepada Kabinet terhadap dasar baru ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Promosi Harmoni Malaysia, Brigadier Jeneral (B) Datuk Richard Robless berkata, walaupun banyak pihak mempertikaikan standard pendidikan yang semakin merosot, tidak ramai yang berusaha memperbaiki dasar pendidikan, sekali gus menghalang pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang bersatu padu.
"Pendidikan adalah asas kemajuan sosial dan manusia. Ia adalah kunci kepada perkembangan pengetahuan, masyarakat yang bermaklumat dan pemahaman serta penghargaan terhadap apa yang membina dan mengukuhkan, menyatu, apa yang memecah belahkan, dan apa yang membawa kejayaan,” katanya semasa berucap pada majlis itu. - Bernama