KUANTAN - Perlantikan Fuziah Salleh sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang yang baharu mampu memperkukuh dan memperkuatkan PKR khususnya di Pahang.
Bekas MPN Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, beliau berkeyakinan penuh terhadap kepimpinan Fuziah dan pimpinan baharu yang lantik.
Menurutnya, sebagai senior di dalam parti, wakil rakyat selama tiga penggal berturut-turut dan selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah mampu menggunakan segala pengalamannya ke arah membina kekuatan dan penyatuan parti.
"Saya ucapkan tahniah atas perlantikan beliau (Fuziah) dan begitu juga kepada Adun Semambu merangkap Ketua Cabang Indera Mahkota Lee Chean Chung yang dilantik sebagai Bendahari Agung PKR yang baharu.
"Perlantikan tokoh muda ini pada saya mencipta sejarah tersendiri dan satu penghargaan dan penghormatan kepada PKR Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan beberapa pimpinan dan ahli-ahli PKR dari Indera Mahkota, Kuantan, Maran dan Paya Besar diketuai Chean Chung, semalam.
Fauzi berkata, semua pimpinan yang diberikan mandat oleh ahli mahu yang mendapat kepercayaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat memikul amanah dan melaksanakan tugas masing-masing dengan baik.
"Semua ahli PKR juga diminta agar terus memberikan sokongan padu kepada presiden, untuk memimpin parti ini.
"Agenda kita untuk melihat tokoh reformasi ini akan memimpin negara akan tercapai apabila tiba waktunya,” katanya.
Fauzi berkata, pada kunjungan pimpinan dan ahli PKR itu, beliau mengambil kesempatan memberikan pandangan dan nasihat bagi membantu memperkukuhkan PKR khususnya di Pahang.