KUALA LUMPUR - Proses penggubalan Akta Kredit Pengguna yang bertujuan memastikan pengguna kredit menerima layanan adil ketika berurusan dengan pemberi kredit sudah pun berada pada peringkat akhir.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sudah selesai perbincangan bersama Bank Negara dan melalui penglibatan bersama pemegang taruh termasuk agensi pemberi pinjaman dan kawal selia.
"Kami telah selesai adakan perbincangan, sekarang dalam peringkat kumpul semua dapatan dan kemudian barulah nanti dikenal pasti pilihan yang ada, adakah kekal dengan ‘status quo’ sekarang atau digubal Akta Kredit baharu.
"Kini di peringkat akhir, kami akan cuba usahakan apabila semua selesai kita akan umumkan... dan sasaran akhirnya ke arah menghasilkan satu Akta Kredit Pengguna bertujuan memberi jaminan perlindungan kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival InvestSmart Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.
Ditanya tempoh masa akta berkenaan akan dibentangkan ke Kabinet, Saifuddin berkata, ia tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa kerana Kabinet memberikan tempoh masa secara terbuka.
"Apa yang penting kita perlu memastikan kerja (proses) berkenaan dilakukan dengan cermat, teliti serta memenuhi matlamatnya," katanya.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan mempercepatkan penggubalan Akta Pengguna Kredit bagi melindungi kepentingan pengguna dan menggalakkan pasaran kredit yang sihat.
Terdahulu, Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, kebanyakan aduan diterima pihaknya kebelakangan ini membabitkan aktiviti pelaburan tidak sah selain 40 peratus pertanyaan dikemukakan orang ramai terhadap aktiviti penipuan terbabit.
"Perkembangan ini amat membimbangkan kerana statistik ini menunjukkan skim pelaburan tidak sah semakin berleluasa. Oleh itu, kita gesa orang ramai mencari maklumat dan panduan daripada sumber yang sah sebelum membuat keputusan melabur.
Festival InvestSmart bertemakan"Bijak Labur” merupakan acara tahunan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap asas-asas pelaburan dan menyediakan pengetahuan serta membuat pertimbangan sewajarnya ketika membuat pelaburan. - Bernama