JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan satu gol apabila bertandang ke Stadium Shah Alam Sabtu depan selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.
Beraksi di harapan ribuan penyokong sendiri, skuad Harimau Selatan tampil dengan corak permainan pantas sebaik wisel permulaan dibunyikan.
Hasilnya, penyerang berbisa skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad meledak gol pembukaan tuan rumah seawal minit ke-14.
Kegembiraan penyokong JDT tidak bertahan lama apabila penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan berselang dua minit kemudian.
Permainan rancak terus ditampilkan kedua-dua pasukan, namun tiada tambahan gol terhasil sehingga tamat aksi babak pertama.
Sebaik babak kedua bersambung, Leandro Sebastian Velazquez kembali menggamatkan stadium apabila merobek gawang Gergasi Merah pada minit ke-49.
Biarpun kedua-dua pasukan makin bersemangat mengasak ke kubu lawan masing-masing, namun kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Pada aksi separuh akhir kedua, JDT akan bertandang ke Stadium Shah Alam Sabtu depan.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 3-3 dengan Pahang dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.
Zaquan Adha Abd Radzak muncul penyelamat skuad Lang Merah apabila menjaringkan gol ketiga Kedah pada masa kecederaan babak kedua.
Sebelum itu, penyerang import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega menyumbang dua gol masing-masing pada minit ke-32 dan 39.
Pahang pula memperoleh tiga gol menerusi jaringan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pada minit ke-13, Dickson Nwakaeme (26) dan Nor Azam Abdul Azih (72).
Pahang akan menanti kunjungan Kedah pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu depan.