Masscomm dan kewartawanan kekal relevan

Iklan

MEDIA cetak tidak relevan bukanlah isu. Isu media cetak adalah dari segi cabaran kos yang tinggi. Portal berita dalam talian menjadi sumber berita utama pembaca kerana tiada sebarang bayaran dikenakan untuk mendapat maklumat.

Ini menyebabkan jualan dan pendapatan pengiklanan media cetak merosot. Hakikatnya, penyediaan berita dan maklumat berbentuk serius bukan percuma. Ia hasil karya wartawan institusi yang kukuh ini. Hasil karya yang membantu pembaca membuat keputusan dan membentuk masyarakat.

Iklan
Iklan

Sebagai institusi yang sudah lama ditubuhkan dan kukuh, akhbar cetak adalah penyampai maklumat atau berita yang diperlukan masyarakat. Akhbar tetap menjadi wadah terpenting masyarakat. Akhbar arus perdana misalnya adalah sumber maklumat sahih untuk masyarakat.

Namun, ia haruslah berimbang, bebas dan profesional dalam pemberitaannya. Harus diingat pembaca kini lebih bijak dalam menghadam maklumat. Akhbar bukan satu-satunya sumber.

Iklan

Pelbagai maklumat di hujung jari mereka. Sememangnya persaingan dalam dunia pemberitaan pada zaman ekonomi digital sekarang cukup mencabar. Siapa yang boleh menyediakan berita yang adil, saksama, sofistikated, menarik, terkini, panas dan bijak sahaja yang akan berjaya. Berita lain hanya sekadar lekat di celah gigi.

Kenyataan Penasihat Media Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk A Kadir Jasin berkenaan kursus Masscomm tidak lagi menjamin masa depan pelajar merupakan kenyataan dari sudut pandangan peribadi beliau. Kenapa Masscomm hanya dikaitkan dengan media cetak? Sedangkan kursus Masscomm menawarkan kepelbagaian sektor dalam industri media dalam dan luar negara.

Iklan

Teknologi Industri 4.0 tidak sama sekali akan membunuh kewartawanan, tetapi akan memberi platform baharu kepada para wartawan untuk memainkan peranan estet keempatnya untuk mendedahkan pelbagai kepincangan yang dilakukan oleh kalangan yang berkuasa tidak kira di sektor awam atau swasta.

Apabila dunia mendakap sepenuhnya Industri 4.0 kelak, peranan kewartawanan akhbar dalam bentuk cetak sekarang ini mungkin menjadi tidak signifikan, tetapi kewartawanan yang bermodelkan perkhidmatan awam akan kekal dipacu oleh entiti akhbar dalam bentuk yang baharu iaitu akhbar digital di alam maya.

Selain itu, kelahiran portal-portal berita serta pelbagai bentuk media sosial yang lain juga kian menyaingi kehadiran akhbar-akhbar digital. Justeru, penulisan yang berprinsipkan kewartawanan akan memisahkan karya-karya media sosial dan kewartawanan digital yang sepatutnya melaporkan kebenaran, bukan pembohongan.

Oleh itu, fungsi media cetak tidak dapat dinafikan dalam penyediaan kandungan medium lain. Tanpa kandungan berita daripada media cetak, kandungan media sosial atau portal berita dalam talian akan menjadi sepi. Majoriti isi kandungan berita dan isu semasa yang memenuhi media sosial atau portal berita dalam talian diolah daripada hasil penulisan media cetak. Malah, apa yang viral dalam portal berita dalam talian, besar kemungkinan isinya bermula daripada apa yang telah dilaporkan oleh institusi yang kukuh ini.

Ringkasnya, trend yang dihadapi industri akhbar hari ini ialah secara digital (Internet). Pengamal-pengamal media telahpun menyedari perkara ini sejak bermulanya ledakan maklumat di seluruh dunia dengan akses kepada Internet lebih luas dan gajet elektronik yang semakin canggih serta murah.

Banyak organisasi akhbar sudah melaksanakan program transformasi masing-masing bagi menyesuaikan diri dengan trend industri masa kini. Ia tidak mudah dan memerlukan modal besar. Apa juga keputusan yang diambil ia seharusnya memiliki pelan jangka yang jelas. Sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Penamatan berita edisi cetak tidak bermaksud matinya bidang kewartawanan mahupun sekolah-sekolah kewartawanan di negara ini. Berita masih ada; cuma di lapangannya yang berbeza.

*Penulis merupakan pensyarah kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Melaka