Kedah dalam misi mencabar hadapi Pahang di tempat lawan

Iklan
Pemain Kedah, Mohamad Zakuan Adha Abd Razak menjaringkan gol ke-3 pasukannya menjadikan gol penyamaan 3-3 pada Perlawanan Piala Malaysia separuh akhir 1, Kedah bertemu Pahang di Stadium Darul Aman malam tadi. - Foto Bernama

SELEPAS gagal memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri untuk separuh akhir pertama Piala Malaysia, Kedah kini terpaksa mencari kemenangan dalam aksi kedua di tempat lawan bagi membolehkan mereka menempah tiket ke pentas akhir.

Dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman di sini malam tadi, skuad Lang Merah hanya sekadar seri 3-3 dengan Pahang, sekali gus berdepan misi yang agak mencabar di Kuantan nanti.

Iklan
Iklan

Pengendali pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, walaupun kelebihan dilihat memihak kepada Pahang untuk perlawanan kedua ini, masih ada harapan untuk Kedah memperoleh keputusan positif di tempat lawan.

"Peluang untuk menang masih terbuka kerana dalam bola sepak apa saja boleh berlaku walaupun turun beraksi di tempat lawan. Paling penting, saya nak ingatkan kepada pemain apabila kita pergi ke sana, kita tak boleh fikir Pahang ada tiga gol.

Iklan

"Apa yang kita perlu buat adalah laksanakan tugas dengan profesional. Insya-ALLAH dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku dalam masa 90 minit permainan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di sini malam tadi.

Mengulas mengenai persembahan anak buahnya dalam perlawanan itu, Aidil Sharin memuji kesungguhan dan semangat berpasukan yang ditunjukkan pemain sehingga berjaya mengikat Pahang.

Iklan

Katanya, walaupun kemasukan Mohd Zaquan Adha Abd Razak berjaya menjaringkan gol ketiga Kedah pada minit ke-92, kredit diberikan semua pemain yang bertungkus-lumus dalam mengekang asakan lawan.

Sementara itu, pengendali Pahang, Dollah Saleh berkata, kesilapan pemain pertahanan di saat-saat akhir menyebabkan pasukannya gagal mendapat kemenangan di tempat lawan.

"Kita sudah bermain dengan baik, cuma kita buat kesilapan bagi gol mudah kepada Kedah disebabkan kelonggaran di pertahanan dan itu sering kali dipesan, namun tetap terjadi pada perlawanan ini," katanya.

Dollah bagaimanapun tetap berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya yang dianggap terbaik setakat ini.

"Insya-ALLAH di Kuantan nanti, kita akan bermain lebih baik kerana kita main di tempat sendiri, cuma kena selalu mengingatkan pemain jangan buat silap hingga boleh memakan diri," katanya. - Bernama