Binturong disangka beruang

Iklan
Binturong ditemui di rumah penduduk sekitar Kampung Hulu, Sungai Choh pada Jumaat lalu. Foto: Ihsan APM Hulu Selangor

HULU SELANGOR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menyelamatkan seekor mamalia yang jarang ditemui dikenali sebagai binturong di sekitar kawasan Kampung Hulu, Sungai Choh Jumaat lalu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor, Kapten Hilmi Husman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 4.54 petang di mana terdapat seekor beruang sedang berkeliaran di kawasan rumah penduduk.

Iklan
Iklan

Hilmi berkata, susulan itu satu pasukan terdiri daripada enam anggota APM telah ke lokasi dan sejurus tiba pihaknya mendapati haiwan tersebut bukannya beruang namun seekor binturong.

"Menurut orang awam yang berada di lokasi, mamalia itu kelihatan lapar dan tidak agresif malah turut boleh diberi makan pisang.

Iklan

"Apabila haiwan itu berlegar-legar di kawasan rumah, mereka telah menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan," katanya dalam satu kenyataan.

Binturong berkenaan ditemui berkeliaran di kawasan rumah penduduk sekitar Kampung Hulu, Sungai Choh. Foto: Ihsan APM Hulu Selangor

Mengulas lanjut, Hilmi berkata, anggota APM turut mengumpan binturong berkenaan dengan menggunakan pisang sebelum ia berjaya ditangkap dan diselamatkan.

Iklan

Beliau berkata, binturong berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Kubu Bharu untuk tindakan selanjutnya.

"Perhilitan akan meneliti tahap kesihatan binturong terbabit bagi memastikan ia berada dalam keadaan sihat," katanya.

Tambah Hilmi, pihaknya turut memuji sikap keprihatinan orang awam yang melaporkan mengenai penemuan mamalia tersebut bagi memastikan ia mendapat bantuan segera.

Anggota APM berjaya menangkap binturong berkenaan yang berkeliaran di kawasan rumah penduduk. Foto: Ihsan APM Hulu Selangor