BANDUNG - Jika sebelum ini, seorang wanita berusia 56 tahun pernah tular di media sosial kerana mencari rezeki dengan memakai maskot Hello Kitty dan Doraemon bagi menghiburkan pengunjung di sekitar Pantai Teluk Cempedak, Kuantan.
Terbaru, seorang lagi warga emas di Indonesia turut menimbulkan simpati ramai netizen apabila turut mencari rezeki dengan memakai maskot bagi menampung kehidupannya di sekitar Bandung.
Seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama @DMTiyas berkongsi gambar di laman media sosial tersebut yang turut meluahkan perasaannya dengan menulis 'Di sebalik topeng, ada air mata'.
Perkongsian tersebut kini tular di Twitter yang meraih 32,400 ulang kicau dan 35,000 tanda suka dengan rata-rata netizen mendoakan agar warga emas terbabit diberikan kesihatan baik dan kekuatan untuk mencari rezeki.
@wadidawjeyun menulis,"Setiap kali aku melihat gambar seperti ini, pasti aku hendak menangis. Bila aku lihat warga emas tersebut sebaya ayahku, aku jadi teringat kepada ayahku terus. Aku terasa kekurangan walhal masih ramai yang lebih berkurangan."
"Suka lihat orang yang mencari rezeki seperti ini. Di usia yang seharusnya menikmati masa tuanya tetapi beliau masih bekerja keras untuk menyambung kehidupan. Semoga ALLAH permudahkan rezekinya dan selalu diberi kesihatan, Amin," tulis @HaiFenty di Twitter.
Dalam pada itu, menerusi satu temu bual, warga emas berusia 71 tahun itu mempunyai isteri dan lima anak yang semuanya sudah bernikah tetapi memberitahu enggan mahu menyusahkan ahli keluarganya.
Video tersebut yang dimuat naik oleh RianTV kini mencapai 277,975 jumlah tontonan dan 25,000 meninggalkan tanda suka.