Pura-pura tidur mati elak dicekup

Iklan
Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut.

DENGKIL - Bukan sahaja cuba menyembunyikan diri di celah bangunan malah ada segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) berpura-pura tidur mati untuk mengelak dicekup.

Bagaimanapun taktik lapuk PATI itu gagal selepas mereka ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Selangor di dua lokasi penempatan pekerja pembinaan di Bandar Serenia di sini dan Petaling Jaya kelmarin.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi bermula jam 11.30 malam itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor.

Menurutnya, seramai 320 warga asing diperiksa dan 87 daripadanya ditahan termasuk tiga kanak-kanak kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Iklan

"Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 34 warga Bangladesh, Indonesia (47), Myanmar (1), Nepal (1), India (2) dan Vietnam (2) berusia lingkungan lapan bulan hingga 60 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara PATI yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Selangor dan JPN Selangor di dua kawasan penempatan pekerja di sekitar Dengkil dan Petaling Jaya kelmarin.

Mohamad Shukri berkata, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut.

Iklan

Mengulas tentang operasi yang tamat pada jam 6 pagi, beliau berkata, terdapat segelintir PATI cuba melarikan diri dan bersembunyi di kawasan rumah kongsi, di celah bangunan yang dalam pembinaan, memanjat kren dan berpura-pura tidur mati namun tindakan tersebut tidak berjaya.

"PATI yang dikesan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas/permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa direman selama 14 hari," katanya.

Katanya, siasatan juga akan tertumpu kepada pihak majikan yang telah menggajikan PATI dan sekiranya terdapat bukti, majikan itu juga akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Kita sentiasa komited untuk terus menjalankan operasi bagi membendung gejala PATI dari semasa ke semasa," katanya.