PADANG BESAR - Seramai sembilan peniaga Arked Padang Besar hari ini membuat demonstrasi aman bagi membantah arahan pengosongan premis di Dataran Majlis Perbandaran Kangar, Perlis.
Kesemua mereka sebelum ini dikehendaki mengosongkan premis pada Jumaat lalu selepas notis arahan dikeluarkan pada Mac lepas.
Susulan itu, peniaga merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan punca rezeki mereka, lebih-lebih lagi tiada inisiatif daripada pihak berkenaan untuk menggantikan tapak perniagaan baharu.
Dakwa peniaga, tanpa ada rundingan, kesemua mereka turut disekat daripada terus membayar sewa RM350 sebulan, sekali gus menghalang mereka daripada terus berniaga di lokasi berkenaan.
Salah seorang peniaga, Nurul Hashimah Ahmad, 33, berkata, mereka sendiri tidak tahu status perniagaan selain tiada lokasi baharu untuk mereka meneruskan perniagaan.
"Kalau tak ganti kedai baharu, habis barang-barang kita nak pi buang kat mana dan kat mana lokasi kami nak sambung cari rezeki?" soalnya.
Seorang lagi peniaga, Khamis Yaacob, 52, turut meluahkan rasa terkilan kerana tiada rundingan dan mereka hanya diberi sekeping kertas (notis) untuk menghentikan operasi perniagaan.
"Hampir 10 tahun cari makan di sini dan kami bukannya menolak pembangunan, namun tindakan menghalau tanpa diberi alasan adalah sukar untuk diterima," katanya.
Menurutnya, mereka difahamkan pengosongan premis itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf kawasan terbabit kepada bangunan bertingkat.
Sementara itu pemborong beg, Mohammad Effandi Abu Bakar, 38, mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang seolah-olah pilih kasih apabila peniaga tempatan tidak dibenarkan berniaga dalam bangunan di lokasi tersebut yang majoritinya dipenuhi peniaga asing.
"Boleh kata 99 peratus (peniaga asing), boleh masuk tengok (dalam bangunan). Kami orang Malaysia, depa (pihak berkuasa) tak mau bagi. Macam tiada hak pula orang Malaysia, terbalik pula dah. Depa boleh cari makan, kita pula tak boleh cari makan di sini," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin meluahkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku dan turut memberitahu bahawa perkara tersebut tidak dimaklumkan kepada pihaknya.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan berbincang mengenai perkara tersebut dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat.
"Kerajaan negeri pun tak bincang dengan Ahli Parlimen. Jika maklum, dapatlah kita bincang dengan peniaga ini supaya boleh bagi cadangan pindah di lokasi baharu.
"Jika kita ada perancangan sedikit, sekurang-kurangnya dapat melegakan hati mereka tetapi kalau bagi satu surat suruh pindah, macam tiada nilai meniaga di sini. Itu satu perbuatan yang tidak baik," katanya.