NEW DELHI - India mendakwa dua tenteranya maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan Pakistan berhampiran sempadan dipertikaikan yang memisahkan kedua-dua negara hari ini.
Insiden yang turut meragut nyawa seorang penduduk awam itu berlaku di Tangdhar di wilayah Kashmir.
Iklan
Iklan
Laporan India Today yang memetik kenyataan polis menyebut, seramai lapan orang termasuk tiga pegawai tentera cedera dalam insiden itu.
Enam rumah penduduk turut musnah akibat terkena bedilan tentera Pakistan.
Sementara itu, tentera India dalam satu kenyataan berkata, insiden berbalas tembakan itu tercetus selepas pasukan keselamatan Pakistan mencabuli perjanjian gencatan senjata apabila cuba merentasi sempadan untuk masuk ke Tangdhar.
Ketegangan antara New Delhi dan Islamabad memuncak pada Ogos lalu apabila India menarik balik status separuh autonomi selama tujuh dekad di Kashmir menerusi dekri Presiden.
Langkah itu menimbulkan kemarahan Pakistan yang bertindak memutuskan hubungannya dengan New Delhi selai mengusir Duta India dan menggantung perdagangan antara kedua-dua negara. - Agensi