Agong, permaisuri bakal saksi upacara pertabalan maharaja Jepun

Iklan
Datuk Kennedy Jawan. - FOTO: BERNAMA

TOKYO - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah antara Ketua Negara dan kenamaan dari seluruh dunia yang akan menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito di Istana Imperial di sini Selasa ini.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berangkat tiba di Tokyo menerusi pesawat khas pada petang esok dengan ditemani pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Iklan
Iklan

Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Kennedy Jawan berkata, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke upacara bersejarah itu adalah atas undangan kerajaan Jepun dengan Seri Paduka berdua dijadualkan berada di sini selama empat hari.

"Kehadiran baginda berdua mencerminkan keakraban hubungan antara Malaysia dan Jepun memandangkan banyak kolaborasi dilakukan bagi memperkukuhkan hubungan itu dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, politik dan ekonomi.

Iklan

"Perkara ini dapat dilihat menerusi banyaknya pertukaran lawatan berlaku antara kedua-dua negara sejak kebelakangan ini," katanya semasa ditemui di Pejabat Kedutaan Malaysia di sini hari ini.

Kennedy berkata, upacara pertabalan akan berlangsung di bilik paling elegan di Istana Imperial, 'Seiden Matsu-no-Ma' yang dijadualkan pada 1 tengah hari waktu tempatan Selasa, (kira-kira 12 tengah hari waktu Malaysia) sebelum menghadiri Majlis Santapan Diraja di 'Hemei-Den' (Dewan Bankuet Negara) pada sebelah petang.

Iklan

Pada hari sama (Selasa), Tunku Azizah juga akan mencemar duli menghadiri program anjuran Persatuan Pandu Puteri Jepun di sebuah hotel di sini yang mana baginda sememangnya diketahui amat aktif dalam persatuan dan aktiviti Pandu Puteri.

Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan menghadiri Jamuan Teh Diraja anjuran Maharaja Naruhito dan Maharani Masako di Istana Akasaka sebelum menghadiri Majlis Santapan Malam anjuran Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di sebuah hotel di sini.

Kennedy juga memaklumkan bahawa Maharaja Naruhito pernah berkunjung ke Malaysia sekitar tahun 2017 semasa bergelar Putera Mahkota Jepun.

Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lepas, menggantikan ayahanda baginda Maharaja Akihito yang melepaskan takhta atas alasan kesihatan dan menjadi Maharaja pertama berbuat demikian kerana pada kelazimannya mereka kekal pada kedudukan tertinggi hierarki negara matahari terbit itu sehingga akhir hayat.

Pemasyhuran Maharaja Naruhito memulakan era baharu Jepun yang dikenali sebagai 'Reiwa' yang bermaksud harmoni dan tertib sekali gus mengakhiri era Maharaja Akihito iaitu 'Heisei' yang bererti mencapai keamanan bermula sejak tahun 1989. - Bernama