KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Iskandariah sentiasa mencuit hati netizen yang sentiasa melayan komen orang ramai di Twitternya.
Tunku Azizah berkongsi pengalamannya ketika mencemar duli melepaskan peserta larian santai KL Pink October Walk 2019 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini semalam.
Baginda menulis di Twitternya,"yg seloro (bergurau) pagi tadi... ada adik jual makanan, lambai-lambai dan panggil saya"CHE MINAH"... saya fikir ia comel dan cool."
Pada mulanya perkongsian itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen namun terjawab apabila seorang pengguna Twitter @lanxxafame berkongsi video di Twitternya, menunjukkan Tunku Azizah menaiki buggy bersama anakandanya, Tengku Puteri Jihan Azizah Atiyatullah sebelum anaknya dengan suara comel memanggil 'Che Minah'.
Perkongsian Tunku Azizah meraih 5,500 tanda suka mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-rata menyukai cara Raja Permaisuri melayan rakyatnya di Twitter.
@aimrcute menulis,"Raja Permaisuri Agong seelamba sahaja dia panggil 'Che Minah'. Macamanalah rakyat tak sayang dengan Tuanku,".
"Bonda saya bernama"Che Minah" dan saya sangat sayangkan dia. Meskipun jauh, hari-hari saya sangat rindukan dia," kata @EnieKamaruddin di Twitter.