LIMBANG - Seorang ahli perniagaan tempatan maut dibunuh dengan kejam oleh seorang lelaki warga Indonesia di pekan Tedungan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sempadan Tedungan (Limbang) dan Kuala Lurah (Brunei) awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa Ting Kok Khoi, 62, mati ditikam berkali-kali di badan bahagian depan dan belakang oleh suspek berusia 36 tahun dipercayai menggunakan pisau pemotong sayur pada jam 7 pagi.
"Ketika kejadian suspek meminta wang daripada mangsa untuk tambang ke bandar Limbang.
"Namun mangsa menengking suspek kerana meminta duit dan tindakannya itu menyebakkan suspek marah lalu mengeluarkan pisau serta terus menikam mangsa bertubi-tubi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan oleh seorang anggota polis dengan bantuan dua orang awam ketika suspek cuba melarikan diri selepas menikam mangsa.
"Ketika ditahan suspek dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan luka pada jari di kedua-dua belah tangan serta paha sebelah kanan.
"Polis juga merampas sebilah pisau dan pasport Indonesia milik suspek," katanya.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati suspek sebelum ini pernah bekerja di sebuah restoran di Brunei telah memasuki bandar Limbang semalam dengan tujuan mencari kerja serta mengumpul duit untuk balik ke Pontianak, Indonesia.
"Suspek datang seorang diri kerana isteri serta anak berada di Filipina dan pisau yang digunakan oleh suspek diambil dari tempatnya bekerja di Brunei," katanya.
Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi mangsa selalu menghantar barang seperti ayam dan plastik untuk dijual kepada penjual di kedai sekitar pekan Tedungan.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
"Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek esok," katanya. - Bernama