SHAH ALAM - Perkongsian video 20 doktor muda dari Universiti Malaya meraikan majlis konvokesyen mereka dengan meletakkan tanda pagar #UniformChallenge kini tular di media sosial.
Dua video tersebut dikongsikan oleh salah seorang daripada mereka, dikenali sebagai Abdul Kadir Shah di Twitternya.
Video berkenaan memaparkan kesemua mereka bermula dengan memakai jubah putih bersama stetoskop sebelum bertukar memakai jubah konvokesyen dah berakhir kepada pakaian seragam untuk ke dewan bedah membawa erti bahawa mereka semua berjaya mencapai cita-cita.
Abdul Kadir Shah Sahibudeen, 24, ketika dihubungi Sinar Harian berkata, dia pada mulanya tidak terfikir untuk membuat video itu dan hanya merancang mengambil gambar sahaja.
Bagaimanapun katanya, mereka merakam video di Putrajaya dua hari sebelum konvokesyen untuk menyimpan pengalaman yang tidak dapat dilupakan pada hari yang bersejarah itu.
"Kami terfikir nak buat #UniformChallenge kerana video ini pernah popular di aplikasi Tik Tok. Jadi kami cuba membuatnya..tak sangka video kami tular di media sosial," katanya.
Perkongsian dua video di Twitternya kini meraih 43,500 tontonan dan rata-rata netizen menyukai cara mereka meraikan hari konvokesyen mereka.
Tulis @ahmaddani12,"Terbaik graduan doktor-doktor di UM, video yang anda buat memang terbaik dan win...rasa macam nak buat sepertimana yang korang buat..apapeun tahiah semua.
"Tak terfikir langsung nak buat begini masa aku konvokesyen dulu. Alamak, budak-budak doktor ini bukan sahaja bijak malah kreatif. Tahniah semua akhirnya semua sudah pun bergelar doktor,"kata Amdinn43 di Twitter