GUA MUSANG - Seorang pekerja ladang warga Indonesia, maut apabila terjatuh dan dihempap traktor yang dipandunya di Ladang Serasa, di sini, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Junaedi, 40, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai.
Menurut penyelia ladang, Muhammad Nabil Akhtar Mazlan, 21, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.15 petang di Blok 21, Ladang Serasa, di mana ketika itu mangsa sedang bekerja.
Katanya, dia mendapat maklumat dari orang awam pada jam 4.30 petang memaklumkan bahawa pekerja di bawah seliaannya itu terlibat dalam kemalangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd Taufik Maidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu traktor di jalan ladang hilang kawalan.
"Jentera berat terbabit terbalik lalu menghempap mangsa. Mangsa terus dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
"Post morterm akan dilakukan di Hospital Kuala Krai sebelum diserahkan kepada pihak berkenaan," katanya lagi.