Suami kencing manis, isteri pula derita barah

Iklan
Mohd Salihin (tengah) ketika ditemui petugas Jejak Asnaf MAINJ di kediamannya.

JOHOR BAHRU - Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib terpaksa dilalui seorang lelaki yang bukan sahaja kehilangan kaki kirinya kerana dipotong akibat kencing manis, malang turut bertimpa apabila isterinya pula terpaksa berjuang dengan kanser pangkal rahim sejak 10 tahun lalu.

Kesukaran dilalui pasangan suami isteri itu yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, di sini menyebabkan mereka terpaksa bergantung nasib kepada anak tunggal perempuan mereka, Nurul Salina Solihin, 28.

Iklan
Iklan

Mohd Salihin Dalil, 58, berkata, sejak kakinya dipotong pada 2016, kehidupannya mereka sekeluarga semakin melarat apabila dia hilang punca pendapatannya, apatah lagi isterinya, Normah Nimat, 65, sudah uzur dan tidak boleh melakukan kerja berat.

"Kerusi roda yang ada pun sudah rosak, kadang kala jiran yang bagi pinjam kerusi elok,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Iklan
Keadaan terkini Mohd Salihin yang kini turut menghadapi jangkitan kuman di bahagian kaki kanannya.

Mengenai perkembangan terkini, Mohd Salihin berkata, dia juga berkemungkinan kehilangan kaki kanannya kerana mengalami jangkitan kuman yang teruk apatah lagi kerana dia tidak dapat menjalani rawatan secara rapi sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, penderitaan Mohd Salihin mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) apabila Jejak Asnaf MAINJ berjaya menjejakinya baru-baru ini hasil aduan jiran dan jawatankuasa perumahan berkenaan.

Iklan

Wakil Jejak Asnaf MAINJ, Nasir Ishak berkata, dalam pertemuan di rumah Mohd Salihin itu, pihaknya telah menyerahkan bantuan segera berjumlah RM300 dan barangan keperluan harian untuk meringankan beban keluarga Mohd Salihin.

"Kita juga akan belikan Mohd Salihin kerusi roda yang lebih elok untuk memudahkan urusannya.

"Kita juga akan terus ikuti perkembangan keluarga ini dan akan bantu sekiranya ada lagi keperluan lain terutama ubat-ubatan yang diperlukan dia dan isteri,” katanya.