PONTIAN - [VIDEO] Berhujan berpanas demi mencari rezeki berniaga nasi lemak dan kuih-muih di hentian bas.
Itulah lumrah hidup yang dilalui Suriati Moh, 47, dari Kampung Serkat Laut sewaktu mula berniaga kira-kira enam tahun lalu.
Dengan pendapatan yang tidak menentu, dia tidak pernah berputus asa mencari rezeki setiap hari demi menyara enam orang anaknya yang kini berusia 22 hingga 12 tahun.
Tempahan kuih dan nasi lemak dari resort serta chalet di Tanjung Piai mula diterima, sekali gus menambah rezekinya sehingga mampu mencapai pendapatan sekitar RM800 sebulan.
Suriati bersyukur dan yakin perniagaannya akan berkembang dengan adanya bantuan Rezeki Tani di bawah kelolaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Dipilih oleh Jabatan Perikanan membolehkan dia menerima bantuan peralatan memasak.
"Syukur sangat, sebelum ini peralatan tidak cukup untuk penuhi tempahan pelanggan.
"Peralatan memasak seperti pengisar, kukus dan dapur gas sangat diperlukan. Sebelum ini ada juga peralatan memasak yang disewa, lepas ini saya tidak perlu sewa lagi,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan Rezeki Tani di rumahnya di Kampung Serkat Laut di sini semalam.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya komited membantu golongan miskin dan miskin tegar meningkatkan taraf hidup dengan mencipta pendapatan sendiri melalui program Rezeki Tani.
Seramai 300 orang penerima telah diluluskan di bawah program Rezeki Tani di seluruh negara.
Nilai bantuan peralatan berkaitan yang diterima adalah maksimum RM10,000 seorang menjelang suku ketiga tahun ini.
Salahuddin berkata, keutamaan diberikan kepada peserta berpengalaman dan berkemahiran melakukan perniagaan kecil-kecilan berasaskan penternakan, perikanan dan pertanian.
"Orang-orang muda dalam kalangan keluarga yang miskin mengusahakan bengkel atau perusahaan kecil sebagai contoh madu kelulut.
"Kementerian akan bantu dapatkan peralatan agar mereka mampu menyara hidup dan keluarga,” katanya.