BANTING - Trash Hero Banting berhasrat melakukan kerja-kerja pembersihan sisa pepejal setiap minggu di kawasan tumpuan awam di daerah Kuala Langat dan Sepang.
Sukarelawannya, Danial Lim 19, berkata, matlamat utamanya ingin mengajak masyarakat mengamalkan budaya menjaga kebersihan persekitaran dan mengurangkan pembuangan sisa pepejal dalam jangka masa panjang.
"Trash Hero yang ditubuhkan pada 15 September lalu mendidik masyarakat supaya mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan tin.
"Sisa pepejal yang tidak boleh dikitar semula seperti batang straw, beg plastik, pembungkus gula-gula, ais krim, coklat, keropok dan sebagainya akan dijadikan 'ecobrick' (plastik botol diisi sampah plastik)," katanya selepas melaksanakan kerja pembersihan di Dataran Banting.
Program pembersihan di dataran itu kali ketiga dilaksanakan sukarelawan itu selepas program sama di Pantai Klanang 21 September dan Pantai Morib, 29 September lalu.
Danial berkata, puntung rokok antara sisa pepejal tertinggi yang dikutip sukarelawan itu pada setiap minggu.
Katanya, sukarelawan itu juga berusaha melibatkan sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di daerah Kuala Langat dan Sepang di samping menyertai program anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).
"Selain itu, kita juga ingin menjalin kerjasama dengan badan berkanun atau syarikat swasta melalui program CSR," katanya.
Seorang lagi sukarelawan, Murni Jainaf, 39, berkata, meskipun berbeza pandangan namun generasi muda seharusnya menanam semangat kerjasama antara satu sama lain.
"Mendidik anak-anak untuk berjuang dan menjadi hero untuk sesuatu tidak semestinya terus ke medan perang.
"Bermulalah dengan kerja sukarelawan seperti ini walaupun pada usia yang masih kecil. Jika bukan kita, sekarang, siapa dan bila lagi?," katanya.