KUALA LUMPUR - Lagak 'kebal' sekumpulan mat rempit yang menunggang motosikal secara berbahaya di sekitar Dataran Merdeka menjerat diri selepas mereka ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi itu dijalankan sepasukan anggota risikan dan operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai Inspektor Zarul Fikrie Hamzah pada jam 1 pagi.
Menurutnya, operasi tersebut berjaya menahan lima penunggang motosikal berusia 18 hingga 27 tahun.
"Kesemua mereka dikesan kerana menunggang secara berbahaya dengan aksi 'willie'.
"Semakan mendapati kesemua mereka adalah pekerja di sektor swasta dan bekerja sendiri," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati dua daripada penunggang terbabit tidak memiliki lesen memandu sah.
Katanya, selain itu, segelintir penunggang terbabit juga dikesan melakukan pengubahsuaian sistem enjin dan bentuk motosikal seperti menggunakan ekzos yang berbunyi kuat, tayar kecil serta nombor plat 'fancy'.
"Kesemua mereka telah dibawa ke balai polis untuk siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Tegasnya, tindakan membanteras aktiviti samseng jalanan di Kuala Lumpur akan terus dipertingkatkan lagi terutamanya pada setiap hujung minggu dan cuti umum.