Tak sesuai dedah nama Ahli Parlimen ponteng: Timbalan Speaker

Iklan
Rashid ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon menyifatkan cadangan supaya nama ahli parlimen yang gagal menghadiri persidangan Dewan Rakyat didedahkan kepada umum sebagai tidak bersesuaian.

Bagaimanapun, beliau berkata, orang awam boleh berjumpa dengan pihak pengurusan Dewan Rakyat dan menulis surat permohonan terus kepada pihaknya untuk dipertimbangkan cadangan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya juga akan berbincang dengan Ahli Parlimen berkenaan bagi meminta pandangan mereka sebelum pendedahan nama dilakukan.

"Mereka (orang awam) boleh menulis terus kepada kami tetapi kami akan memaklumkan kepada Ahli Parlimen yang tidak hadir untuk ditanya sama ada pendedahan nama mereka baik atau tidak," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Iklan

Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, pihaknya bagaimanapun bersetuju sekiranya nama wakil rakyat yang tidak hadir persidangan diumumkan sekali-sekala.

"Inisiatif itu juga boleh menyedarkan Ahli-ahli Parlimen dengan perkara itu boleh dibawa kepada perbincangan lanjut," katanya.

Iklan

Mengulas mengenai ketiadaan pelantikan Ketua Setiausaha Parlimen, Rashid berkata, Dewan Rakyat sudah ada cara lain untuk memastikan Ahli Parlimen lebih bertanggungjawab untuk menghadiri sidang Parlimen.

"Kita minta semua lebih sedar dan bertanggungjawab sebab dalam PH kita nak lebih transparensi.

"Saya harap semua faham akan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka,"katanya.

Sidang Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan selama 10 minit mulai jam 4.05 petang apabila jumlah Ahli Parlimen hadir tidak mencukupi syarat yang ditetapkan iaitu perlu ada sekurang-kurangnya 26 daripada 222 ahli Parlimen.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sewaktu sesi perbahasan yang memaklumkan kepada Speaker mengenai kekurangan korum.

Pemberitahuan itu mendorong Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, yang sedang mengawasi perbahasan membunyikan loceng.