Rusuhan Sudan: Keadaan pelajar Malaysia selamat, terkawal

Iklan
Pelajar Malaysia di Sudan menjalani aktiviti riadah seperti biasa

SHAH ALAM - Keadaan pelajar Malaysia di Sudan selamat dan terkawal, meskipun ketika ini berlaku pergolakan di Khartoum.

Ini kerana, kedudukan penempatan pelajar terletak kira-kira 10 kilometer daripada lokasi pergolakan yang bermula sejak 19 Disember lalu itu.

Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Sudan, Mohd Alif Mohd Ludin berkata, ke semua 108 pelajar yang berada di negara bergolak itu masih menjalani kehidupan seperti biasa tanpa sebarang kekangan.

"Protes berlaku di tengah bandar Arabi dan pelajar majoritinya tinggal di kawasan Arkaweet dan Makmurah. Jadi tidak kami tidak terkesan sangat dengan pergolakan yang sedang berlaku.

"Malah, kami masih boleh keluar menghadiri kelas pengajian di luar kampus pada siang hari dan malam tanpa masalah.

"Sistem pengangkutan awam juga masih berjalan seperti biasa. Dalam tempoh seminggu ini kami tidak terasa dengan pergolakan yang sedang berlaku,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan pembelajaran berikutan semua universiti masih ditutup, katanya mereka sedang menunggu arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan tarikh baharu untuk memulakan kelas.

Kumpulan pelajar Malaysia menjalani kehidupab seperti biasa di Sudan
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Kami juga sentiasa merujuk dengan pejabat Kedutaan Malaysia di Sudan ini bagi mendapatkan sebarang perkembangan terkini.

"Alhamdulillah, kami berada dalam keadaan selamat dan situasi juga masih terkawal," katanya.

Dalam perkembangan sama Mohd Alif turut memberitahu kebanyakkan rakyat Sudan berpusu-pusu mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Keadaan di lokasi mesin ATM boleh dikatakan agak sesak setiap hari kerana rakyat Sudan ingin mendapatkan wang tunai.

"Malah, ketika saya keluar membeli belah baru-baru ini ada rakyat Sudan yang tawarkan untuk membayar dengan kad debit mereka dan meminta saya membayar semula dengan tunai," katanya.