Jabatan Perhutanan Perak terima saman masyarakat orang asli

Iklan
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop ketika ditemui pemberita hari ini.

KUALA KANGSAR - Jabatan Perhutanan Negeri Perak merekodkan satu kes saman membabitkan tuntutan masyarakat orang asli Kampung Cunex, Gerik tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, notis saman itu diterima dua bulan lalu selepas komuniti itu mendakwa kerajaan negeri melakukan pencerobohan kawasan tanah adat.

Iklan
Iklan

"Saman ini baru peringkat permulaan dan kita pun baru submit dokumen-dokumen diperlukan.

"Ia membabitkan kawasan hutan simpan yang didakwa mereka sebagai tanah adat dan apabila pembalakan dijalankan, mereka mengatakan ia tidak mendapat keizinan komuniti orang asli di situ," katanya kepada pemberita hari ini.

Iklan

Terdahulu media dimaklumkan bahawa kes saman difailkan komuniti orang asli berkaitan dakwaan pencerobohan kawasan tanah adat boleh menjejaskan aktiviti pembalakan di negeri ini.

Ia turut memberi kesan terhadap 5,000 pekerja yang terlibat dalam sektor pembalakan terdiri pelesen dan kilang berasaskan kayu.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamed Zin berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan semua maklumat.

"Kita masih dalam proses dokumentasi untuk menyediakan maklumat yang tepat berkaitan kes itu," katanya.

Bantahan oleh penduduk Kampung Cunex bermula Januari lalu dengan membina sekatan yang menghalang syarikat konsesi balak berlesen dari mengeluarkan kayu dari kawasan pembalakan.

Ia dibuat atas dakwaan menceroboh kawasan tanah adat mereka, termasuk kebimbangan kehilangan sumber hutan dan merosakkan sumber air.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan pemberian wang saguhati kepada masyarakat orang asli di Kampung Lawai, Sungai Siput.

Menurutnya, berdasarkan siasatan dijalankan didapati, pertemuan bersama penduduk sebelum ini tidak melibatkan mana-mana syarikat pembalak yang didakwa memberikan wang berkenaan kepada penduduk.

"Tidak berlaku isu pemberian rasuah dalam perjumpaan pegawai kita bersama masyarakat orang asli di sana, mereka yang hadir hanya pegawai dan penduduk tanpa wakil pihak pembalakan.

"Daripada perbincangan dibuat, komuniti di situ juga bersetuju pembalakan dilakukan dan syarikat yang melaksanakan aktiviti pembalakan itu memang mendapat kelulusan serta sah dari segi perundangan," katanya.

SPRM sebelum ini mengesahkan menerima laporan dibuat 10 keluarga orang asli dari Kampung Lawai, Sungai Siput yang mendakwa diberikan 'sagu hati' berjumlah RM40,000 daripada syarikat pembalakan bagi menutup mulut berhubung aktiviti pencerobohan yang dibuat di situ.

Mereka mendakwa wang itu diberikan susulan pertemuan penduduk dengan Pegawai Perhutanan dan 'tauke' balak di Pejabat Hutan Daerah Sungai Siput.

Terdahulu Mohamed Zin ditemui pada program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di pesisir tebing Sungai Perak Kampung Sayong Tebing.