KUALA LUMPUR - Masalah aliran darah tidak stabil atau 'syncopal attack' mungkin antara faktor Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman pitam lalu rebah sewaktu berbahas di Dewan Rakyat petang tadi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, meskipun keadaan kesihatan Mansor semakin pulih, beliau masih perlu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengikut prosedur sidang Dewan Rakyat.
Menurutnya, keadaan wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sudah sedar dan boleh berkata-kata ketika diziarahi di klinik Parlimen.
"Dia (Mansor) ok dah. Dia dah ok, dah boleh bercakap, dah kenal. Saya tanya ni kenal tak siapa, dia kata kenal.
"Tekanan darah dia pun sudah naik, kandungan gula dalam darah pun ok. Jadi dia akan jalani pemeriksaan di hospital selepas ini," katanya.
Lebih kurang jam 3.18 petang tadi, Mansor tiba-tiba rebah sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan 2020 di dalam Dewan Rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Nibong Tebal rebah
Kejadian itu mengejutkan sidang Dewan Rakyat dengan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dari DAP yang duduk bersebelahan beliau dilihat segera membantu.
Susulan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming bertindak menghentikan perbahasan selama lima minit sementara menunggu pasukan perubatan tiba.
Beberapa anggota perubatan dilihat bergegas memasuki sidang Dewan Rakyat untuk memberikan bantuan perubatan segera kepada Mansor.
Mansor kemudiannya dibawa ke klinik Parlimen dengan menaiki kerusi roda.
Sementara itu, Mansor sewaktu dibawa keluar dari klinik Parlimen oleh pegawai perubatan untuk menjalani pemeriksaan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) sempat tersenyum dan melambai-lambai kepada pengamal media.
Apabila ditanya keadaan beliau, Mansor hanya mengatakan beliau sudah pulih.
"Dah okay... Dah okay," jawab Mansor secara ringkas.