KUALA NERUS - Seramai 110 anggota pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu akan turun padang dalam menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali kali ini.
Exco Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, langkah itu dibuat bagi menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan yang akan disambut.
Menurutnya, penguatkuasaan skim harga maksimum itu bermula dari 20 Oktober hingga 2 November depan.
"Tempoh kuat kuasa ini selama 14 hari, iaitu selama tujuh hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas perayaan, berbanding 10 hari pelaksanaannya pada tahun 2018.
"Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 19 jenis barangan bagi pelaksanaan skim harga maksimum pada tahun ini, berbanding 16 jenis barangan sahaja sebelum ini. Pertambahan barangan ini melibatkan cili kering, bendi, kubis bulat import dari Indonesia dan China (tidak termasuk Beijing),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 bertempat di Mydin Mall Gong Badak di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Mengulas lanjut, Nurkhuzaini berkata, selain penguat kuasa, 60 anggota pegawai pemantau harga (PPH) juga akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya sepanjang tempoh itu.
Ia bagi mengelakkan aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang musim tengkujuh kali ini.
"Setakat ini laporan yang diterima, bekalan barangan keperluan tidak terjejas dan harga juga masih terkawal. Jika ada yang ambil kesempatan, saya minta pengguna segera membuat aduan kepada KPDNHEP untuk diambil tindakan” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terkini peniaga jalanan yang berniaga di persimpangan lampu isyarat, beliau berkata, satu perjumpaan akan diadakan dalam masa terdekat.
"Yayasan Pembangunan Usahawan akan usahakan satu perjumpaan sebelum 31 Oktober, iaitu tarikh akhir untuk mereka menjalankan aktiviti itu sebagai peringatan. Kita sudah memberikan tempoh yang selesa, iaitu tiga bulan untuk mereka menghabiskan stok barangan sebelum kita kuatkuasakan larangan menjual.
"Kita harap tiada isu berbangkit selepas ini dan selepas habis tempoh, pihak berkuasa akan turun padang dan ambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing, termasuk merampas, kompaun dan tangkap bagi yang masih berdegil,” katanya.