UMK titik berat hal ehwal pelajar

Iklan
Zaliman (dua dari kanan) beramah mesra bersama penuntut yang baru mendaftar di kampus UMK.

KOTA BHARU - Bukan hanya memberi penekanan kepada aspek pendidikan, malah kebajikan pelajar adalah antara elemen penting yang dititik beratkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Selari dengan matlamat menjadikan UMK sebagai universiti keusahawanan 2023 pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan pelajar universiti tersebut bersedia secara fizikal, mental dan rohani untuk mencapai harapan tersebut.

Iklan
Iklan

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Leftenan Kolonel Prof Dr Zaliman Sauli berkata, banyak pendekatan yang bersifat holistik diambil terutamanya menggalakkan pelajar untuk terlibat dalam bidang keusahawanan di peringkat kampus.

Dari kiri: Zaliman dan Arham

"UMK telah menyediakan 30 kiosk bagi membolehkan pelajar menjalankan perniagaan dalam kampus. Sambutan yang diberikan juga sangat memberangsangkan dan kalangan mahasiswa sendiri juga menyokong usaha yang dilakukan. Terdapat juga lebih 500 buah Syarikat Siswa Universiti (SSU) yang menjalankan pelbagai perniagaan di seluruh Malaysia. SSU merupakan syarikat yang ditubuhkan dan diuruskan sepenuhnya oleh pelajar.

Iklan

"Kita mempunyai 10,000 pelajar di ketiga-tiga kampus dan kami juga bekerjasama dengan pihak swasta dalam menyediakan gerai khusus bagi pelajar kita yang tergolong dalam kumpulan asnaf dan gerai tersebut diberikan secara percuma.

"Kita juga menyediakan Skim Pelajar Bekerja yang bertujuan membantu pelajar golongan B40 untuk menjana pendapatan semasa di universiti. Jika mereka mempunyai masa terluang, mereka boleh daftar di pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan mereka diberikan masa bekerja maksimum selama lima jam sehari,” katanya.

Iklan

Menurutnya, skim tersebut dibuka kepada semua pelajar yang layak, bermula dari tahun pertama hingga tahun akhir pengajian dan kelebihan diberikan kepada mereka yang berdepan masalah kewangan.

Beliau berkata, skop pekerjaan yang diberikan juga lebih menjurus kepada mengurus fail, menaip surat dan pelbagai kerja lain di perpustakaan dan sebagainya.

"Skim ini memang menarik ramai pelajar dan kini kita ada 120 peserta sebab kemasukan mereka adalah on-off dan UMK memang mengambil berat kebajikan pelajar ini. Saya percaya, dengan kebajikan yang terjaga ini, ia menarik lebih ramai minat pelajar untuk menyambung pengajian di sini,” katanya.

Selain itu katanya, pelbagai bantuan lain disediakan oleh UMK seperti zakat, Skim Khairat Kemalangan Pelajar, Skim Khairat Kematian, Pinjaman Jangka Pendek, Insurans Berkelompok Pelajar dan Bantuan Khas Latihan Industri.

Zaliman berkata, UMK kini mempunyai 11,756 graduan yang bekerja dalam pelbagai bidang, termasuk mempunyai perniagaan sendiri di serata Malaysia.

Mengulas mengenai kerjasama alumni dalam membangunkan UMK, Zaliman berkata, pihaknya telah melantik salah seorang alumni sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMK, selain memberi peluang kepada alumni-alumni dalam membuat sebarang cadangan dan juga maklum balas untuk menambah baik universiti.

25 produk dihasilkan UMK sedia dikomersialkan

Pencapaian dalam bidang penyelidikan dan inovasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semakin mendapat tempat dan membuka mata pemain industri di seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah berkata, sebanyak 25 produk yang dihasilkan bersedia untuk dikomersialkan.

Antara produk utama ialah penghasilan baja Bio Char dikeluarkan pada tahun 2017 menggunakan fomulasi UMK sendiri dan sudah dilesenkan kepada sebuah syarikat untuk dipasarkan.

Arham (dua dari kanan) menunjukkan produk baja organik yang dihasilkan melalui formulasi UMK.

"Sejajar dengan misi dan visi UMK ini sendiri, setiap projek penyelidikan yang dijalankan bukan sahaja mempunyai impak tinggi kepada masyarakat dan pelajar bahkan kepada negara.

"Setakat ini banyak pencapaian membanggakan yang membuka lebih laluan dan kepercayaan kepada kami untuk menjalankan penyelidikan,” katanya.

Katanya, kejayaan dalam penyelidikan dan inovasi yang dilakukan juga berkait rapat dengan sokongan pemain industri serta geran yang disediakan kerajaan di samping bantuan pengurusan UMK.

"Setiap tahun UMK mendapat pertambahan geran. Pada tahun 2017 lebih RM3 juta, manakala tahun lalu sebanyak RM4.4 juta dan pada tahun ini, RM5 juta,” katanya.

Tambahnya, UMK juga menjangkakan mendapat pertambahan geran sehingga RM6 juta melibatkan 100 projek pada tahun hadapan.