Majlis tandatangani perjanjian antara 1MDB, PSI tidak pernah berlaku

Iklan

KUALA LUMPUR - Saksi kesembilan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa majlis menandatangani perjanjian usaha sama (JV) antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) tidak pernah berlaku.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, ini kerana perjanjian JV ditandatangani oleh beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif PSI, Tarek Obaid secara berasingan.

Iklan
Iklan

"Saya menandatangani perjanjian itu di pejabat saya di sini dan saya percaya Tarek Obaid menandatanganinya di suatu tempat tetapi bukan di Kuala Lumpur," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ke-25 perbicaraan bekas perdana menteri itu dalam kes 1MDB.

Saksi tersebut berkata majlis menandatangani perjanjian dijadualkan pada 28 September 2009.

Iklan

Beliau berkata, pada masa itu (28 September 2009) terdapat rancangan bagi Najib dan Al-Marhum Raja Arab Saudi, Abdullah Abdul Aziz Al Saud untuk menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian di Putrajaya tetapi kedua-duanya tidak menghadiri majlis tersebut.

Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee bila saksi mengetahui bahawa ketua kerajaan (Najib dan Raja Abdullah) tidak menghadiri majlis tersebut, Shahrol Azral berkata,"Saya hanya tahu sehari sebelumnya atau pada hari yang sama majlis itu sepatutnya berlangsung."

Iklan

Shahrol Azral berkata beliau tidak tahu terlebih dahulu kerana tidak berada di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"Saya tidak menguruskan jadual Datuk Seri Najib," katanya.

Muhammad Shafee: Ia ditandatangani oleh dua Ketua Pegawai Eksekutif yang rendah hati? Shahrol Azral menjawab,"Ya, kerana Jho Low (Low Taek Jho) berkata kita perlu percepatkan".

Muhammad Shafee: Tetapi Jho Low mempercepatkannya tanpa apa-apa faedah, dia hanya mahu mempercepatkan beberapa perkara, jadi dia mendapat apa yang dia inginkan. Kerana majlis itu tidak diadakan.

Shahrol Azral: Saya mungkin tidak tahu pada masa itu.

Sementara itu, prosiding pada sebelah petang telah dikosongkan selepas Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa dia perlu menjalani pemeriksaan mata.

"Saya perlu hadir di Hospital Columbia untuk menjalani pemeriksaan mata. Ada prosedur yang saya perlu lakukan. Saya memohon perbicaraan disambung pada Khamis," katanya sambil menambah Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwa tidak membantah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Muhammad Shafee dan perbicaraan bersambung pada Khamis.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. - Bernama