SHAH ALAM - Pembinaan projek pembangunan berhampiran kawasan Hutan Komuniti Shah Alam menimbulkan kegusaran sebilangan pihak yang merasa bimbang berlakunya kemusnahan hutan di kawasan tersebut.
Setiausaha Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF), Alicia Teoh berkata, pihaknya membantah projek pembangunan di kawasan terlibat berikutan pelaksanaannya telah menyebabkan kerosakan yang semakin serius terhadap ekosistem di hutan berkenaan.
Di samping itu, Alicia berkata kerosakan yang berlaku itu juga bakal mengundang bahaya khususnya kepada pengunjung di hutan tersebut ekoran daripada risiko tanah runtuh.
"Oleh sebab itu, kami memohon supaya arahan henti kerja dapat dikeluarkan dengan serta-merta bagi menggelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku,"katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Alicia bersama sekitar 30 orang sukarelawan turut melakukan penjelajahan dengan mengikat reben di pokok-pokok yang terdapat di hutan berkenaan sebagai simbolik bagi bantahan terhadap projek pembangunan itu.
Hadir sama dalam program terbabit adalah Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi.
Mengulas lanjut, Alicia berkata kawasan hutan berkenaan juga menghubungkan Hutan Simpan Bukit Cerakah dan Taman Botanikal Shah Alam malah terdapat pelbagai spesis hidupan liar di sini.
"Hutan ini amat bernilai kepada masyarakat bandar kerana mereka akan mengunjunginya pada setiap cuti hujung minggu malah jumlah pengunjung juga turut meningkat saban tahun,"katanya.
Selain itu, Alicia berkata SACF juga pernah berusaha untuk melindungi hutan berkenaan dengan membuat permohonan kepada Exco Selangor agar lokasi terlibat dijadikan kawasan Hutan Simpan Kekal Komuniti .
"Kami juga telah menghantar beberapa surat kepada pemimpin, Kerajaan Selangor dan pihak berkaitan berhubung perkara ini namun tiada maklum balas yang memuaskan,"katanya.
Dalam pada itu, Najwan berkata pihaknya pernah mengusulkan di dalam Sidang Dun Selangor sebelum ini agar hutan berkenaan digazetkan sebagai kawasan perlindungan namun terdapat beberapa semakan perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan sama ada lokasi terlibat mempunya pelan pembangunan lain atau sebagainya.
Beliau berkata, pihaknya juga berharap agar Kerajaan Selangor dapat mempertimbangkan memorandum yang dihantar oleh SACF tersebut berikutan hutan berkenaan mempunyai pelbagai khazanah yang perlu dilindungi demi manfaat generasi akan datang.
"Jika Kerajaan Selangor mempunyai pelan pembangunan yang masih belum berjalan, saya harap sekurang-kurangnya ada alternatif lain untuk menyelesaikan perkara ini.
"Saya akan cuba bincang lagi dengan Kerajaan Selangor selepas ini untuk sekurang-kurangnya mereka mempertimbangkan memorandum berkenaan," katanya.