KANGAR - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Ekonomi Gig@ UniMAP dan Kelab UniMAP- Malaysia Freelancer Association (MAFA) Student Chapter hari ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berkenan berangkat merasmikan penubuhan pusat itu di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra dan melancarkan Kelab UniMAP-MAFA Student Chapter.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar kerajaan mengambil langkah proaktif sejajar dengan perkembangan ekonomi gig pada masa kini yang mempunyai cabaran tersendiri.
"Kerajaan perlu melaksanakan polisi yang seiring dengan landskap pekerjaan hari ini agar golongan freelance mendapat manfaat sewajarnya seperti perlindungan insurans dan undang-undang yang bersesuaian.
"Ia termasuk mengkaji pengenalan gaji minimum setiap jam dengan syarat-syarat yang memenuhi piawaian produktiviti tertentu agar ia dapat membantu golongan ekonomi gig," titah baginda ketika berkenan berangkat hadir ke Majlis Pelancaran Kelab UniMAP-MAFA Student Chapter di Dewan Kecemerlangan hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad; Pengarah MDEC, Darzy Norhalim; Presiden MAFA, Razman Yusof Mohd Sarit; Pengarah Knowledge Diversified Technology Corporation (KDTC), Dato Azaddin Datuk Abd Aziz; pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor dan pengurusan tertinggi UniMAP.
Terdahulu, Dr R Badlishah berkata, antara kelompok pekerjaan yang menjanjikan pulangan tinggi pasaran gig ekonomi serta bertepatan dengan kemahiran yang ada pada graduan UniMAP adalah seperti Deep Learning Job atau kerja-kerja yang menawarkan perkhidmatan mesin data yang semakin mendapat tempat.
Ia sejajar dengan perkembangan Artificial Intelligence (AI), selain khidmat Blokchain yang berfungsi sebagai pengkalan data terbuka dan menjanjikan nilai bayaran sekitar RM350.
Di samping itu, penawaran teknologi robotik juga adalah khidmat ketiga terbesar yang menjanjikan bayaran tertinggi iaitu sekitar RM400 sejam," katanya.
Tambahnya, penubuhan Pusat Ekonomi Gig@UniMAP dan Kelab UniMAP-MAFA Student Chapter merupakan lanjutan daripada pelancaran Ekonomi Gig@UniMAP serta aplikasi pintar Hire Me pada November tahun lalu.