Tegur perokok, pekerja restoran ditampar

Iklan
tampar

SHAH ALAM - Seorang pekerja restoran mendakwa ditampar oleh pelanggannya selepas menegur supaya tidak menghisap rokok di tempat makan itu tengah hari kelmarin.

Kejadian berlaku apabila pekerja restoran berusia 25 tahun itu menegur tiga lelaki yang sedang menghisap rokok di dalam restoran yang terletak di Jalan Makmur 25/64, Seksyen 25 itu.

Iklan
Iklan

Sinar Harian difahamkan, pekerja berkenaan menegur pelanggannya berikutan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan bermula 1 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, teguran diberi secara baik tetapi salah seorang dari pelanggan tersebut bertindak menampar muka dibahagian pipi kiri pekerja restoran tersebut.

Iklan

Menurutnya, selepas menampar sekali pukulan, ketiga-tiga pelanggan tersebut terus beredar dari restoran setelah membuat bayaran.

"Laporan polis kemudian telah dibuat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Iklan

"Polis meminta pelanggan yang terlibat menampar pelayan restoran tersebut untuk tampil berjumpa pegawai penyiasat kes untuk memberi keterangan," katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, tiada kesan kecederaan dialami pelayan restoran terbabit.

Katanya, laporan polis ini dibuat bagi mengelakkan premis tersebut dikenakan denda atau tindakan pihak berkuasa ekoran peraturan baru larangan merokok di restoran.

Beliau berkata, semasa kejadian terdapat dua pekerja restoran dan lima pelanggan lain.

"Berdasarkan keterangan daripada pekerja restoran itu, pelanggan restoran terbabit jarang dilihat datang ke restoran tersebut.

"Kita telah teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk kesan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an itu bagi bantu siasatan," katanya lagi.