Banjir: Lapan sekeluarga di Bukit Mertajam dipindahkan

Iklan

BUKIT MERTAJAM - Lapan sekeluarga di Kampung Permatang Rawa di sini di pindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Perda Timur selepas rumah mereka dilanda banjir berikutan hujan lebat lebih tiga jam sejak petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, seorang suri rumah bersama suami, empat orang anak, ibu dan adik lelakinya dipindahkan kira-kira 6.50 petang selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira 0.7 meter.

Iklan
Iklan

"Hujan lebat sejak jam 4 petang telah menyebabkan beberapa kawasan di Bukit Mertajam dinaiki air antara 0.2 meter dan 0.7 meter.

"Setakat ini satu pusat pemindahan dibuka dan pihak kami (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang memantau situasi ini," katanya di sini malam ini.

Iklan

Boon Poh berkata, selain Permatang Rawa, beberapa kawasan lain di Bukit Mertajam iaitu Alma, Machang Bubok, Cherok Tok Kun dan Padang Lalang turut dilanda banjir namun tiada mangsa yang dipindahkan setakat ini.

Menurutnya, kerajaan Pulau Pinang dan beberapa agensi kerajaan yang lain telah membuat persiapan bagi membantu penduduk yang rumah mereka dilanda banjir.

Iklan

Tinjauan mendapati terdapat rumah dinaiki air hingga paras lutut namun penduduk masih belum berpindah kerana mahu memantau keadaan banjir dan berharap ia tidak semakin buruk.

Seorang penduduk di Padang Lalang, Hartini Mohd Syafik, 35, berkata, rumahnya terletak berhampiran sungai menyebabkan air naik begitu cepat sehingga rumah didiami bersama keluarganya telah mula dimasuki air pada jam 6.30 petang tadi.

Menurutnya, hujan hari ini agak lebat berbanding dua tiga hari lepas dan beliau sekeluarga memang sentiasa memantau air sungai kerana bimbang berlaku banjir di rumah mereka.

"Sehingga 7.30 malam ini, air banjir dalam rumah telah mencapai kira-kira 0.5 meter dan kami harap hujan dapat berhenti supaya banjir juga surut dengan segera.

"Nasib baik barang-barang elektrik sempat letak di bahagian atas rumah," kata ibu kepada tiga orang anak itu.